HomeUtamaKePKAS komited majukan pembangunan lestari pelancongan Sabah

KePKAS komited majukan pembangunan lestari pelancongan Sabah

Read Time:1 Minute, 54 Second

Kota Kinabalu : Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar (KePKAS) sepenuhnya komited untuk memajukan pembangunan lestari pelancongan di negeri ini yang menjadi antara faktor pemacu ketiga kepada ekonomi Kerajaan negeri.

Menterinya Datuk Christina Liew berkata, KePKAS mensasarkan untuk memastikan pembangunan ini secara berterusan memberi manfaat kepada rakyat Sabah terutamanya komuniti tempatan.

“Oleh itu, saya dengan tulus ikhlas menghargai program latihan ini yang tepat dengan masanya.

“Saya menggalakkan semua peserta dari daerah-daerah di mana tapak UNESCO terletak iaitu Tapak Warisan Dunia Kinabalu, Rezab Biosfera Banjaran Crocker, dan Global Geopark Kinabalu, serta semua peserta dari kawasan yang memiliki kepentingan Taman, untuk sepenuhnya memanfaatkan kursus ini bagi memenuhi tanggungjawab masing-masing,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan ‘Capacity Building Training on SDGs for the stakeholders of The Kinabalu UNESCO World Heritage Site, Crocker Range Biosphere Reserve & Kinabalu UNESCO Global Geopark’ di sini baru-baru ini.

Teks ucapan beliau dibacakan Timbalan Setiausaha Tetap II KePKAS Alesia Sion.

Christina berkata, Kerajaan Negeri Sabah telah memperkenalkan Inisiatif Sabah Maju Jaya (SMJ), yang merangkumi tiga fokus utama bagi pembangunan lestari negeri ini dari tahun 2021 hingga 2025.

Katanya, fokus-fokus ini menggambarkan slogan SMJ di mana ‘S’ merujuk kepada sektor-sektor ekonomi utama iaitu pertanian, industri, dan pelancongan, manakala ‘M’ berkaitan dengan modal insan dan kesejahteraan rakyat dan akhirnya ‘J’ menekankan infrastruktur hijau dan rangkaian kelestarian.

“Pelan SMJ telah mengenalpasti lima faktor pemacu untuk mendorong fokus-fokus ini iaitu kelestarian fiskal, kemudahan kewangan, penyampaian yang cekap dan berkesan, kecemerlangan dalam integriti dan tadbir urus, serta kerajaan digital.

“Selain itu, ia telah menetapkan lima objektif pelaksanaan untuk mewujudkan masa depan yang lebih baik, termasuk memupuk perpaduan, keamanan, kemakmuran, mengoptimumkan sumber dan pendapatan negeri, mendorong pemulihan ekonomi, dan meningkatkan ekonomi dan modal insan rakyat,” katanya.

Menurutnya, pelan SMJ yang dicadangkan adalah selaras dengan agenda pembangunan di peringkat nasional yang dinyatakan dalam Wawasan Kemakmuran Bersama 2030, sekaligus membuktikan komitmen kerajaan Sabah terhadap visi ini.

“Peta jalan SMJ bertujuan untuk mencapai objektifnya melalui pelaksanaan 584 inisiatif yang dilancarkan sejak tahun 2021, merangkumi 304 inisiatif utama dan 280 pemacu.

“Menariknya, pelan SMJ juga selaras dengan semua tujuh belas Matlamat Pembangunan Lestari Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu. Oleh itu, kursus latihan hari ini mengenai Matlamat Pembangunan Lestari Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu adalah tepat dan sesuai serta bersifat serampang 3 mata,” katanya. – SABAH MEDIA

RELATED ARTICLES
Utama

Pam rosak, paip pecah punca gangguan air di Putatan dan sekitar...

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular