HomeUtamaAgong, Permaisuri berangkat tiba di Tawau untuk Kembara Kenali Borneo

Agong, Permaisuri berangkat tiba di Tawau untuk Kembara Kenali Borneo

Read Time:2 Minute, 43 Second

BERNAMA

Tawau: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berangkat tiba di lapangan Terbang Tawau di sini hari ini bagi memulakan pengembaraan yang julung kali diadakan dalam mendekati rakyat di Sabah dan Sarawak.

Kembara Kenali Borneo pada 3 hingga 13 Sept ini bermula dari Tawau, Sabah dan berakhir di Telok Melano, Kuching, melibatkan jarak perjalanan lebih 2,154 kilometer dengan melalui Lebuhraya Pan Borneo yang menghubungkan Sabah, Sarawak serta Brunei, memberikan peluang keemasan bagi rakyat di kedua-dua negeri untuk beramah mesra dengan pasangan diraja dan delegasi.

Pesawat membawa Seri Paduka berdua yang berlepas dari Pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia, Subang mendarat pada pukul 1.50 tengah hari, sebelum Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah disambut Yang Dipertua Negeri Sabah Tun Juhar Mahiruddin dan isteri Toh Puan Norlidah R.M Jasni.

Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bersalaman dengan Yang di-Pertua Negeri Tun Juhar Mahiruddin (tengah) sejurus keberangkatan tiba. –Foto JAPEN Sabah

Turut hadir Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof, Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor, Speaker Dewan Undangan Negeri Sabah Datuk Seri Kadzim M Yahya, dengan ditemani isteri masing-masing.

Al-Sultan Abdullah kemudian berkenan melalui Kawalan Kehormat Setempat daripada Batalion Ke-26 Rejimen Askar Melayu Diraja (26 RAMD).

Mufti Kerajaan Sabah Datuk Bungsu @ Aziz Jaafar membacakan doa bagi memohon keselamatan Seri Paduka berdua serta para hadirin, sebelum pasangan diraja bersama delegasi berangkat menuju ke hotel penginapan.

Sebelum meninggalkan Lapangan Terbang Tawau, Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah turut berkenan bergambar bersama 40 kanak-kanak daripada Tadika Kemas dan Perpaduan di daerah ini, yang berpakaian tradisional pelbagai etnik.

Al-Sultan Abdullah yang memandu sendiri kereta dengan ditemani Tunku Azizah, turut berkenan beramah mesra, bersalaman dan berswafoto dengan orang ramai yang menantikan keberangkatan Seri Paduka berdua di sekitar lapangan terbang itu.

Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah dijadual berangkat ke Majlis Pelancaran Kembara Kenali Borneo dan Santapan Malam Bersama Rakyat di Dewan Masyarakat Tawau di sini malam ini.

Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Panglima Hajiji Noor (tengah) berjabat tangan dengan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah. – Foto JAPEN Sabah

Kawasan di sekitar Tawau kelihatan meriah dengan kibaran Jalur Gemilang dan bendera negeri Sabah bagi menyambut keberangkatan tiba pasangan diraja yang terkenal dengan sikap rendah hati dan mesra rakyat itu.

Tawau, yang dikenali sebagai ‘Bumi Peladang’ terletak di sebelah Pantai Timur Sabah iaitu kira-kira 500km dari ibu negeri Kota Kinabalu, dan merupakan bandar ketiga terbesar di negeri ini, selepas Kota Kinabalu dan Sandakan.

Mengikut data Jabatan Perangkaan pada 2020 daerah Tawau mempunyai 372,462 penduduk dengan keluasan 196 km persegi. Penduduk Tawau majoritinya terdiri daripada suku kaum Bugis, Bajau, Suluk Ida’an, Tidong, Cocos, Murut dan Lun Bawang.

Sebahagian besar daripada kawasan tanah tanah daerah Tawau adalah kawasan perladangan yang banyak ditanam dengan tanaman kelapa sawit dan koko, dengan kebanyakan penduduknya bekerja di ladang kelapa sawit.

Semasa di Sabah bagi tempoh 3 hingga 7 Sept, Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong serta rombongan dijadual singgah di lapan daerah lain iaitu Lahad Datu, Sandakan, Telupid, Ranau, Kundasang, Kota Kinabalu, Penampang dan Sipitang. – BERNAMA

RELATED ARTICLES
Utama

25 pendaki sertai ekspedisi mendaki Gunung Kinabalu Coalition Duchenne kali ke-12

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular