Kota Kinabalu : Sabah dan rakyat di negeri amat bertuah serta sangat teruja dengan perkenan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah mengadakan Program Kembara Kenali Borneo.
Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, program jelajah yang bermula di Tawau pada 3 September lalu itu amat bermakna kepada rakyat kerana berpeluang untuk menatap dari dekat wajah Yang di-Pertuan Agong dan keluarga.
“Ada juga yang berkesempatan untuk bertegur sapa di beberapa lokasi persinggahan sepanjang pengembaraan yang dilalui oleh Seri Paduka Baginda.
“Ternyata keprihatinan, kemesraan dan kemuliaan hati Tuanku berdua akan kekal terpahat di hati rakyat untuk selamanya,” katanya pada Majlis Santapan Malam Kerajaan Negeri sempena Program Kembara Kenali Borneo (Sabah) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) di sini malam ini.
Hadir sama Yang di-Pertua Negeri, Tun Juhar Mahiruddin dan isteri Toh Puan Norlidah R.M. Jasni, Timbalan Perdana Menteri, Dato’ Sri Fadillah Yusof dan Speaker Dewan Undangan Negeri, Datuk Seri Kadzim M. Yahya.
Hajiji berkata, rakyat amat mengagumi kesediaan dan kesanggupan Seri Paduka Baginda berdua menelusuri dan memandu sendiri sepanjang lebuhraya Pan Borneo dari Tawau hingga ke Kota Kinabalu pada Rabu dan meneruskan kembara ke Sipitang pada esok, dan seterusnya ke Negeri Sarawak, Bumi Kenyalang.
Beliau turut memaklumkan Seri Paduka Baginda bahawa perdagangan negeri Sabah telah mencatat rekod tertinggi dalam sejarah iaitu melonjak naik sehingga RM118.1 bilion pada tahun 2022, berbanding hanya RM87.2 billion pada tahun sebelumnya.
“Seiring peningkatan itu, meski pun baharu mengambil alih tampuk kerajaan negeri dalam tempoh tiga tahun lalu, Kerajaan Negeri telah berupaya membawa masuk lebih daripada RM33 bilion nilai pelaburan ke Sabah, disamping rekod tertinggi dalam kutipan hasil negeri yang mencecah sehingga RM7 bilion.
“Dengan prestasi ekonomi yang baik berserta hala tuju Pelan Pembangunan Sabah Maju Jaya yang jelas, yang diperkenalkan dua tahun lalu telah berjaya merealisasikan usaha murni Kerajaan Negeri dalam membangunkan semula ekonomi negeri Sabah,” katanya.
Hajiji berkata, Pelan Pembangunan SMJ merupakan Dasar Hala Tuju Kerajaan yang sejajar dan selari dengan Gagasan Malaysia Madani untuk membawa perubahan dan pembangunan yang menyeluruh dan holistik, juga bertujuan meningkatkan taraf hidup rakyat dan membasmi kemiskinan.
Beliau juga berikrar untuk terus menumpahkan taat setia yang tidak berbelah bahagi kepada Seri Paduka Baginda dan kedaulatan Institusi Diraja yang menjadi payung dan lambang perpaduan serta keharmonian rakyat Malaysia sejak sekian lama.
“Semoga Program Kembara Kenali Borneo yang bersejarah ini, akan kekal terukir indah di dalam hati sanubari Seri Paduka Baginda dan kaum kerabat selamanya,” katanya. – SABAH MEDIA