Kota Kinabalu : Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan rasa terharu apabila ada yang memanggil baginda dengan pelbagai nama sepanjang Kembara Kenali Borneo di negeri ini.
Baginda bertitah, antara nama panggilan yang didengari sepanjang kembara itu ialah ‘pakcik agong’ dan ‘abang agong’ selain Raja Permaisuri Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah turut dipanggil ‘datin permaisuri’.
“Saya terharu apabila anak muda panggil saya pakcik agong, ada juga yang panggil saya abang agong, ada juga panggil gong,gong, gong. Sekurang-kurangnya menghiburkan saya.
“Dan juga Raja Permaisuri Agong (dipanggil) datin permaisuri, ada pujian-pujian pada isteri saya ooo cantik sekali, Alhamdulillah,” titah baginda pada Majlis Santapan Malam Kerajaan Negeri Sabah sempena Kembara Kenali Borneo di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini, malam tadi.
Hadir sama menyambut keberangkatan tiba Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah Aminah Maimunah ke majlis itu ialah Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin dan isteri, Toh Puan Norlidah RM Jasni; Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor dan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof.
Yang di-Pertuan Agong bertitah, baginda amat gembira dan begitu terharu atas layanan mesra rakyat Sabah sepanjang perjalanan Kembara Kenali Borneo di negeri ini.
“Keramahan rakyat yang saya temui disepanjang perjalanan terdiri daripada pelbagai etnik dan sukuk aum, Kadazandusun, Bajau, Rungus, Tagahas, Kagayan, Murut, Orang Sungai, Iranun, Kadayan, Bisaya, Cocos, saya begitu terharu.
“Saya nak sebut setiap kaum ini kerana setiap kali mereka menghulur tangan, saya mesti salam kerana saya tak tahu dia golongan mana. Pada saya mereka ini semua sama, bagi saya rakyat Malaysia, rakyat Sabah.
“Ini mustahak kerana niat saya adalah merapatkan dan menyantuni setiap kaum, setiap rakyat. Selagi saya mampu menghulur tangan, saya tetap hulur,” titah baginda.
Hari ini, Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong serta rombongan akan mengakhiri perjalanan Kembara Kenali Borneo di Sabah dengan persinggahan terakhir di Sindumin, Sipitang, sebelum ke Lawas, Sarawak dan Brunei Darussalam pada petang nanti.
Pagi ini, baginda berdua dijadual berangkat tiba ke Santapan Pagi Bersama Rakyat dan melawat rumah tradisi pelbagai etnik di Hongkod Koisaan, Persatuan Kebudayaan Kadazandusun (KDCA) di Penampang. – SABAH MEDIA / FOTO FB TPM II