HomeUtamaPenyelia Jururawat beri kehidupan baharu kepada lima pesakit

Penyelia Jururawat beri kehidupan baharu kepada lima pesakit

Read Time:1 Minute, 34 Second

Kota Kinabalu : Seorang Penyelia Jururawat berusia 59 tahun yang meninggal dunia akibat masalah mati otak menjadi penderma organ kelima di negeri ini seterusnya memberi kehidupan baharu kepada lima pesakit menerusi beberapa organnya yang didermakan, baru-baru ini.

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) Dr Asits Sanna berkata, penderma, Allahyarhamah Sulimah Gilong telah berkhidmat dalam Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) selama 34 tahun sejak 1989.

Katanya, penderma organ dan tisu itu telah berdaftar sebagai pengikrar penderma organ sejak 2015 dan mendermakan sepasang buah pinggang, hati dan kornea.

“Hasrat murni beliau untuk menjadi penderma organ selepas kematian, telah disempurnakan setelah pihak hospital mendapat persetujuan bertulis daripada warisnya. 

“Antara organ dan tisu yang telah didermakan termasuklah sepasang buah pinggang, hati dan sepasang kornea (mata). Pendermaan organ dan tisu oleh Allahyarhamah telah menyelamatkan nyawa tiga orang pesakit yang mengalami kegagalan buah pinggang dan hati serta memberi sinar penglihatan kepada dua orang pesakit yang lain.

“Pihak jabatan ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada ahli keluarga yang telah menunaikan hasrat beliau serta anugerah kehidupan yang diberikan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Dr Asits berkata, pendermaan organ Allayarhamah Sulimah dilakukan di Hospital Queen Elizabeth II (HQE II), di sini, menjadikannya ia juga adalah kes pendermaan pelbagai organ dan tisu yang pertama di Sabah bagi tahun ini.

Katanya, Allayarhamah telah bertugas kali terakhir di Wad Perubatan Am 4 dan Wad Respiratori, Hospital Queen Elizabeth. 

“Beliau merupakan seorang jururawat yang sangat berdedikasi dalam menjalankan tugas, disenangi oleh rakan sekerja dan prihatin terhadap keperluan pesakit. 

“Salam takziah diucapkan kepada ahli keluarga di atas pemergian dan semoga keluarga arwah diberikan kekuatan untuk menghadapi kehilangannya. Kami mendoakan semoga segala amal ibadahnya diterima serta ditempatkan di kalangan orang beriman dan beramal soleh. 

“Pihak jabatan menyeru orang ramai supaya menjadikan Allahyarhamah Sulimah Gilong sebagai inspirasi dan teladan. Seorang jururawat yang menabur khidmat bakti semasa hayatnya dan terus berbudi setelah pemergiannya,” katanya. – SABAH MEDIA

RELATED ARTICLES
Utama

Sentiasa peka dengan perubahan cuaca

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular