HomeIsu tempatan60,000 naskah Al-Quran terjemahan bahasa Dusun akan diedar

60,000 naskah Al-Quran terjemahan bahasa Dusun akan diedar

Read Time:1 Minute, 28 Second

Kota Kinabalu:  Sebanyak 60,000 naskah Al-Quran dengan terjemahan Bahasa Dusun akan diedar selepas  mendapat perkenan daripada Yang di-Pertuan Agong Al Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Pengerusi Pertubuhan Kadazan Dusun Murut Muslim Se-Malaysia (KDMRS Muslim), Nicholas Sylvester berkata, penerbitan Al-Quran dengan terjemahan bahasa Dusun itu merupakan hasil usaha KDMRS Muslim yang bertujuan memberi kemudahan kepada golongan mualaf di negeri ini untuk mendalami ilmu Al-Quran.

“Al-Quran ini telahpun lulus semakan daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) serta Kementerian Dalam Negeri dan sedia untuk diedarkan secara percuma khususnya kepada Muslim Dusun di pedalaman Sabah dalam masa terdekat.

“Bagi cetakan pertama sebanyak 10,000 naskah telah dicetak dan sedia untuk diedarkan apabila naskah ini mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah manakala 50,000 naskah lagi sedang dalam cetakan sebagai tambahan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas mengadakan kunjungan hormat kepada Yang di-Pertua Negeri Sabah Tun Juhar Mahiruddin di Istana Seri Kinabalu, di sini semalam.

Nicholas berkata, Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong akan melancarkan naskah ini dalam satu majlis yang akan diadakan sedikit masa lagi.

“Kita juga merancang akan mengadakan satu majlis penyerahan naskah Al-Quran kepada persatuan-persatuan mualaf Sabah dengan Tun Juhar sebagai tetamu kehormat selewat-lewatnya pada hujung tahun ini,” katanya.

Dalam pada itu, Nicholas turut memaklumkan kunjungan tersebut juga bertujuan menjemput Tun Juhar untuk merasmikan Konvensyen Dakwah NGO Madani Negeri Sabah di ibu negeri, Sabtu ini.

Hadir sama, Mufti Kerajaan Negeri Sabah, Datuk Bungsu @Aziz Jaafar, Presiden Pertubuhan Kebajikan Saudara Kita (SAHABAT) Johari Buning Abdullah dan Yang di-Pertua Pertubuhan Himpunan Lepasan Institut Pendidikan Malaysia (HALUAN) Cawangan Sabah Surail Abdul Kahar.

RELATED ARTICLES
Isu tempatan

96 kakitangan KYS sertai ceramah keselamatan jalan raya

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular