HomeUtamaMetMalaysia jangka tiada jerebu teruk dalam masa terdekat

MetMalaysia jangka tiada jerebu teruk dalam masa terdekat

Read Time:1 Minute, 54 Second

BERNAMA

Kuala Lumpur :  Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) tidak menjangkakan berlakunya episod jerebu teruk di negara ini dalam masa terdekat, meskipun terdapat beberapa titik panas dikesan di Indonesia serta Malaysia ketika ini.

Ketua Pengarah MetMalaysia Muhammad Helmi Abdullah berkata jangkaan berdasarkan data Pusat Meteorologi Khas ASEAN (ASMC) yang menunjukkan bilangan titik panas di Kalimantan dan Sumatera, Indonesia telah berkurangan semalam berbanding Isnin lepas.

Beliau berkata pada 11 September, sebanyak 67 titik panas dikesan di Kalimantan dan 50 (Sumatera) tetapi semalam, bilangannya telah berkurangan kepada dua di Kalimantan dan Sumatera (15).

“Bagi Malaysia pula, hanya satu titik panas dicatatkan di Semenanjung pada Isnin, namun situasi berubah semalam apabila Sabah dan Sarawak merekodkan keseluruhan empat titik panas.

“Bagaimanapun, dengan berakhirnya Monsun Barat Daya serta berkurangnya bilangan titik panas di Kalimantan dan Sumatera, MetMalaysia tidak menjangkakan akan berlakunya episod jerebu teruk dalam masa terdekat,” katanya kepada Bernama.

Muhammad Helmi berkata Monsun Barat Daya berakhir hari ini dan akan diganti dengan Peralihan Monsun yang dijangka berterusan hingga awal November.

Semasa peralihan monsun itu, negara dijangka menerima lebih banyak hujan terutamanya pada sebelah petang dan awal malam terutamanya di negeri pantai barat Semenanjung, barat Sarawak dan Sabah.

Selain itu, negara juga akan menerima hujan yang lebih banyak pada Monsun Timur Laut yang dijangka bermula November hingga Mac depan.

“Bagaimanapun, jerebu rentas sempadan boleh berlaku jika terdapat kebakaran hutan yang banyak dan meluas serta arah tiupan angin dari kawasan kebakaran tersebut, apatah lagi keadaan El Nino dikesan berlaku di Tengah Lautan Pasifik dan dijangka berterusan hingga awal tahun depan dengan kebarangkalian melebihi 95 peratus.

“Mengikut ramalan daripada agensi antarabangsa yang memantau perkara ini, kekuatannya dijangka mencapai tahap maksimum pada penghujung tahun ini dan awal tahun depan yang mampu menyebabkan cuaca kering berpanjangan, selain boleh mengurangkan jumlah hujan dan menyebabkan kebakaran hutan sekiranya aktiviti pembakaran terbuka tidak dikawal,” katanya.

Berdasarkan data dalam laman sesawang Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara (APIMS) kendalian Jabatan Alam Sekitar (JAS), 46 stesen pemantauan kualiti udara mencatatkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) sederhana dengan kadar tertinggi di Kuching, Sarawak iaitu bacaan 92; diikuti Shah Alam, Selangor (76) dan Seremban, Negeri Sembilan (75).

IPU berskala antara 0-50 dikategorikan sebagai sihat, 51-100 (sederhana), 101-200 (tidak sihat), 201-300 (sangat tidak sihat) dan 300 ke atas (berbahaya). – BERNAMA/FOTO MEDIA SOSIAL

RELATED ARTICLES
Utama

102 KIR terjejas banjir di Penampang terima sumbangan Perdana Menteri

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular