HomePendapatIndustri Padi Dan Sara Diri

Industri Padi Dan Sara Diri

Read Time:4 Minute, 44 Second

Oleh: Wan Azrain Adnan

1.        Baru-baru ini, Setiausaha Bahagian Pembangunan Industri Padi, Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) Malaysia, di laporkan berkata bahawa Malaysia wajar berusaha untuk mencapai 100% Kadar Sara Diri untuk beras. Ini penting agar Malaysia dapat mengelakkan dari terkesan dengan gangguan pasaran beras global.

2.        Pada masa yang sama, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan juga telah menyeru pihak yang berkaitan agar berazam mencapai 100% Kadar Sara Diri beras negara dalam masa terdekat.

3.        Malah perkara sama pernah di utarakan beberapa tahun dahulu. Pada tahun 2015, Menteri Pertanian & Asas Tani Malaysia di laporkan berkata bahawa Kementerian Pertanian & Asas Tani Malaysia menyasarkan Malaysia untuk mencecah 100% Kadar Sara Diri beras pada tahun 2020.

4.        Namun begitu, sasaran tersebut tidak tercapai. Menurut data Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) untuk tahun 2021, Kadar Sara Diri beras negara adalah65%. Ini bermakna penghasilan beras dalam negara hanya dapat memenuhi 65% permintaan tempatan.

5.        Seterusnya, Malaysia terpaksa mengimport 35% lagi keperluan beras negara. Malaysia mengimport beras dari beberapa negara terutamanya – India, Pakistan, Myanmar, Thailand dan Cambodia. Menurut laporan Malaysia Trade Statistics Review I 2021 oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), pada tahun 2020, import beras Malaysia bernilai RM 2.5 billion. Dalam tempoh 20 tahun (2000 – 2020), jumlah import beras negara telah meningkat pada kadar purata 4.8% setahun.

6.        Sebagai usaha untuk meningkatkan keterjaminan bekalan beras negara, Kerajaan Malaysia telah meletakkan sasaran Kadar Sara Diri beras negara sebanyak 75% di bawah Rancangan Malaysia ke-12 (RMK 12: 2021 – 2025). Nampaknya sasaran ini amat sukar untuk di capai, dengan lonjakan 10% dalam tempoh berbaki 2 tahun, dari Kadar Sara Diri beras ketika ini.

7.        Tambahan lagi, bukan sahaja sasaran tersebut sukar untuk di capai, kemungkinan besar Kadar Sara Diri beras negara akan menurun. Ini bersandarkan data Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) yang menunjukkan Kadar Sara Diri beras dengan trend yang menurun: 72.3% (2015), 70.3% (2016), 70% (2017), 69% (2018), 65% (2021).

8.        Sekiranya, Kadar Sara Diri beras terus menurun selari dengan trend tersebut, sudah pasti kebergantungan Malaysia kepada beras import akan meningkat. Dengan itu, krisis bekalan dan harga beras yang di hadapi oleh Malaysia ketika ini bakal berulang, serta berpotensi menjadi lebih buruk di masa akan datang.

9.        Justeru itu, usaha untuk meningkatkan Kadar Sara Diri beras negara mesti segera di teliti, di perbetul serta di gandakan dengan melibatkan semua pemegang taruh di dalam industri padi dan beras negara. Hanya ada dua cara untuk meningkatkan Kadar Sara Diri beras negara iaitu; meningkatkan hasil/ yield padi, dan menambah keluasan kawasan penanaman padi.

10.      Menurut data Kementerian Pertanian Malaysia, pada tahun 2019, keluasan kawasan penanaman padi di Malaysia berjumlah 681,559 hektar. Daripada jumlah tersebut, 62% (425,613 hektar) adalah 12 kawasan Jelapang Padi negara yang terletak di beberapa buah negeri, iaitu: Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Perak, Selangor, Kelantan, Terengganu, Pahang, Sarawak dan Sabah.

11.      Secara keseluruhan, jelapang padi negara menghasilkan 62% dari jumlah pengeluaran padi negara, dan selebihnya (38%) di hasilkan oleh kawasan penamanan padi luar jelapang.

12.      Untuk sekian lama, walaupun pelbagai inisiatif telah di laksanakan dengan melibatkan jumlah perbelanjaan besar berbillion ringgit, namun hasil padi negara menunjukkan trend yang agak mendatar tanpa peningkatan yang ketara.

13.      Sebagai contoh. Di kawasan MADA Kedah, iaitu jelapang padi utama negara, dari tahun 2000 – 2019, hasil kasar padi telah meningkat dari 4.76 metrik tan/ hektar kepada 5.58 metrik tan/ hektar. Ini merupakan peningkatan sebanyak 0.82 metrik tan/ hektar (17.2%) untuk tempoh masa 19 tahun, iaitu purata 0.9% setahun.

14.      Maka, jika purata peningkatan 0.9% setahun tersebut di ambil sebagai penanda aras, dengan semua faktor tidak berubah (all things being constant), Malaysia akan mencapai Kadar Sara Diri beras 100% dari 65% dalam tempoh masa 35 tahun.

Adakah Malaysia mampu menunggu sekian lama untuk keterjaminan bekalan beras? Mungkin tidak, memandangkan bekalan beras global yang di jangka akan terus mengalami gangguan.

15.      Di samping itu, usaha meningkatkan Kadar Sara Diri beras negara bertambah sukar dengan keluasan penanaman padi yang berkurangan. Ini berpunca dari beberapa sebab termasuklah; sawah padi di jual untuk pembangunan dan petani bertukar kepada tanaman lain.

16.      Sebagai contoh. Rekod Lem­­baga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA) Kelantan menunjukkan kawasan penanaman padi telah menurun dari 37,760 hektar kepada 10,927 hektar dalam tempoh 51 tahun (1972 – 2023). Menurut data Jabatan Pertanian Sabah, jumlah keluasan kawasan penanaman padi di Sabah telah berkurangan sebanyak 14% (6,429 hektar) dalam tempoh 4 tahun (2018 – 2021).

17.      Beberapa hari lepas, Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah di laporkan berkata bahawa Kerajaan Malaysia telah mengenal pasti kawasan seluas 50,000 hektar untuk pelaksanaan projek penanaman padi di Sarawak dan Sabah. Ini akan dapat menangani isu berkurangan kawasan penanaman padi, dan seterusnya mengukuhkan usaha mencapai Kadar Sara Diri beras yang lebih tinggi. Namun begitu, pelaksanaan projek berkenaan sudah pasti akan mengambil masa yang lama untuk membuahkan hasil yang di inginkan.

18.      Oleh yang demikian, rakyat Malaysia akan terus berdepan dengan isu bekalan dan harga beras dari masa ke semasa, sehinggalah Malaysia dapat mencapai Kadar Sara Diri beras yang kukuh dan kurang bergantung kepada import beras.

RELATED ARTICLES
Utama

Sentiasa peka dengan perubahan cuaca

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular