KOTA KINABALU: Program Santai Bersama Pelajar Kolej Teknologi Yayasan Sabah (KTYS) mendapat sambutan memberangsangkan daripada pelajar dan seluruh warga KTYS yang diadakan di Kampus Teknikal Likas pada Rabu (20 Sept).
Lebih 200 pelajar dan kakitangan KTYS hadir memeriahkan program tersebut.
Program anjuran Jabatan Pemasaran KTYS bermula dari jam 8 pagi hingga 3 petang itu menyaksikan pelbagai acara dijalankan termasuk Pertandingan Tiktok Video Pendek, Gerai Terbaik, Karaoke dan Cabutan Tiket Bertuah.
Pengerusi Lembaga Pengarah Kolej Komuniti Yayasan Sabah (KKYS) Sdn Bhd Datuk Tah Nia Jaman berkata, Program Santai anjuran KTYS ini adalah bersempena dengan Majlis Konvokesyen Kolej Teknologi Yayasan Sabah (KTYS) ke-26 yang akan diadakan bulan depan.
“Objektif Program Santai ini diadakan bertujuan mengeratkan lagi tali silaturrahim yang sedia terjalin antara pelajar dan kakitangan KTYS, selain memberi pendedahan kepada pelajar KTYS dengan pengalaman langsung dalam bidang keusahawanan melalui aktiviti seperti menjual produk yang dihasilkan,” katanya semasa berucap pada program itu.
Tambah beliau, ada banyak lagi program seumpama ini yang diadakan bagi mengeratkan tali silaturrahim antara pelajar dan kakitangan di dua kampus KTYS iaitu di Kampus Induk Sembulan dan Kampus Teknikal Likas.
Turut hadir Ketua Eksekutif KTYS, Haji Samin Ongki.
Dalam program itu, Pertandingan Tiktok Video Pendek, Siti Nursyahirah Maisarah Abdul Khalid dinobatkan sebagai juara, manakala naib johan Nuraisyah Munirah Ahmad dan tempat ketiga dimenangi oleh Nurfarizy.
Bagi Pertandingan Karaoke pula johan milik Nurul Zulaikha Mohamed, naib johan, Elexis Leonard dan ketiga, Michelle Endi.
Manakala johan Pertandingan Gerai Terbaik dinobatkan kepada Rotaract Club dan naib johan, Suria Air Balang serta Program Kulinari & Pastri mendapat tempat ketiga.
Sebanyak tujuh buah gerai menyertai program tersebut.