HomeUtamaCadangan kerja baik pulih landasan terputus sudah dikemukakan

Cadangan kerja baik pulih landasan terputus sudah dikemukakan

Read Time:2 Minute, 26 Second

Kota Kinabalu : Jabatan Keretapi Negeri Sabah (JKNS) sudah mengemukakan cadangan kerja membaik pulih landasan di laluan kereta api yang terputus di antara Beaufort dan Tenom hingga menjejaskan pengguna di kawasan berkenaan sejak hampir setahun lalu.

Timbalan Ketua Menteri Datuk Ir Shahelmey Yahya berkata, cadangan membaik pulih dengan kos sebanyak RM4.7 juta itu telah dikemukakan kepada Kementerian Pengangkutan (MOT) pada 20 Disember lalu.

“MOT pada dasarnya sudah meluluskan peruntukan itu pada Ogos lalu dan kini hanya menunggu proses penyaluran peruntukan kepada kerajaan negeri bagi membolehkan kerja pemulihan landasan dilaksanakan dalam masa terdekat.

“Pihak JKNS juga sudah mengenal pasti skop yang perlu dilaksanakan bagi membolehkan sektor Beaufort dan Tenom dapat dihubungkan semula dengan pengangkutan rel.

“Skop kerja itu merangkumi tiga bahagian iaitu skop kerja pembersihan dengan kos sebanyak RM1.69 Juta, skop pembaikan dua buah jambatan dengan kos sebanyak RM1.17 juta dan skop kerja pembaikan kekal landasan kereta api dengan kos sebanyak RM1.8 Juta,” katanya dalam satu kenyataan, di sini.

Shahelmey yang juga Menteri Kerja Raya Sabah turut bertanggungjawab terhadap JKNS, berkata demikian sebagai mengulas rungutan penduduk Kampung Rayoh di Tenom yang menghadapi kesukaran ke pekan Tenom disebabkan laluan kereta api yang belum dipulihkan sejak akhir tahun lalu.

Kerosakan landasan yang menghubungkan Kampung Rayoh itu berpunca daripada banjir besar di kawasan pedalaman Sabah pada 31 Oktober 2022 yang menjejaskan landasan sepanjang 27 kilometer, di antara Halogilat dan Tenom.

Laluan berkenaan baru siap dinaik taraf dengan peruntukan RM49.5 juta daripada MOT pada awal tahun lalu, namun dimusnahkan banjir besar tidak lama selepas ia disiapkan.

Shahelmey berkata, pada ketika ini hanya laluan di antara Kampung Rayoh dan Pangi sepanjang 10 kilometer yang belum dipulihkan disebabkan kesan kerosakan yang berat termasuk dua jambatan yang memerlukan pembinaan semula.

“Kerajaan negeri, melalui kementerian saya dan JKNS tidak membiarkan sahaja keluhan dan kesusahan penduduk setempat yang terjejas dengan situasi itu.

“Kementerian Kerja Raya Sabah dan JKNS serta pihak kontraktor yang terbabit sudah melakukan kerja-kerja pembersihan dan pembaikpulihan minimal di sektor Tenom-Pangi sepanjang 11 kilometer dan operasi perkhidmatan kereta api menggunakan stok kereta api ringan di sektor ini dipulihkan pada 19 November 2022.

“Dengan itu, penduduk setempat di Pangi udah dapat keluar dan masuk ke pekan Tenom untuk urusan harian mereka menggunakan perkhidmatan kereta api bermula tarikh berkenaan.  Bagi sektor Halogilat ke Rayoh sepanjang sembilan kilometer yang mana terdapat kesan kerosakan yang agak berat, laluan hanya dapat dipulihkan pada 21 Jun 2023.

“Dengan itu, penduduk setempat di Rayoh boleh berurusan ke Pekan Beaufort bermula tarikh berkenaan, manakala untuk sektor Pangi ke Rayoh sepanjang 10 kilometer, laluan ini belum dapat dipulihkan disebabkan kesan kerosakan yang lebih berat, termasuk kerosakan dua jambatan di sektor ini,” katanya.

Berikutan itu, katanya perkhidmatan kereta api yang beroperasi di sektor berkenaan ketika ini terhad kepada laluan Pekan Tenom – Pangi dan Pekan Beaufort – Halogilat – Rayoh, manakala Rayoh – Pangi masih terjejas menyebabkan penduduk Kampung Pangi menghadapi kesukaran ke pekan Tenom yang lebih dekat berbanding ke pekan Beaufort.

RELATED ARTICLES
Utama

Lima mangsa perempuan termasuk kanak-kanak & remaja rentung dalam kebakaran

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular