HomeIsu tempatanRM1 juta peruntukan laksana program kebajikan menerusi FGV Seikhlas Hati

RM1 juta peruntukan laksana program kebajikan menerusi FGV Seikhlas Hati

Read Time:1 Minute, 47 Second

Nabawan : Hampir RM1 juta diperuntukkan bagi melaksanakan pelbagai program kebajikan yang dapat memberi manfaat kepada masyarakat Islam khususnya di daerah ini menerusi program FGV Seikhlas Hati.

Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri Datuk Ruslan Muharam berkata, ia termasuklah pembinaan sebuah masjid berharga RM200,000 di Kampung Pulutan.

“Program itu juga termasuklah pemberian wang tunai, pelbagai jenis barangan makanan serta set kelengkapan ibadah kepada 601 ketua keluarga saudara baru dari 11 kampung di seluruh Nabawan.

“Saya juga diberitahu, selain di Nabawan, program FGV Seikhlas Hati turut melimpah ke Kundasang kerana di situ, FGV dan Muslim Care Malaysia bekerjasama untuk membina sebuah rumah kepada seorang saudara baru dengan kos kira-kira RM100,000.

“Amat besar sumbangan dan pertolongan yang diberikan FGV dan Muslim Care Malaysia kepada orang-orang Sabah dan ia amat-amat kami hargai,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan FGV Seikhlas Hati di sini hari ini.

Ruslan berkata, pihaknya berharap agar bakti murni yang dilakukan FGV itu turut dicontohi oleh syarikat korporat lain iaitu menerusi berkongsi rezeki atau keuntungan syarikat dengan golongan kurang bernasib baik dan memerlukan pertolongan.

“Apabila kita senang, jangan sekali-kali melupakan mereka yang susah. Ini kerana dalam setiap rezeki yang Allah pinjamkan kepada kita, memang ada sebahagian daripadanya adalah milik orang lain.

“Yakinlah, rezeki kita tidak akan berkurangan, sebaliknya akan bertambah kerana keberkatan yang dikurniakan Allah SWT. Kepada Muslim Care Malaysia pula, syabas dan tahniah saya ucapkan kerana tidak jemu-jemu menabur bakti dengan pelbagai aktiviti kebajikan di seluruh Sabah,” katanya.

Dalam pada itu, Ruslan berkata, antara yang telah dilaksanakan ialah pembinaan Madrasah Terapung untuk anak-anak Bajau Laut atau Palauh di perairan Pulau Mabul, Semporna; pembinaan jambatan pejalan kaki untuk pelajar madrasah dan penduduk Kampung Sungai Buaya, Tawau dan pemberian sebuah Bot Jenazah untuk penduduk beberapa pulau di perairan Sandakan.

“Secara peribadi dan mewakili semua penerima manfaat daripada program FGV Seikhlas Hati, kami mendoakan FGV dan Muslim Care Malaysia menerima ganjaran sebaik-baiknya daripada Allah SWT atas segala infaq dan amal jariah yang dilakukan.

“Saya juga mendoakan perniagaan FGV bertambah maju dan aktiviti bantuan kemanusiaan Muslim Care Malaysia di dalam serta luar negara, dipermudahkan dan diberkati Allah SWT,” katanya. – SABAH MEDIA

RELATED ARTICLES
Isu tempatan

EU komited bantu Sabah atasi isu keselamatan, tenaga

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular

Recent Comments

Marianah Haji Mohd. Akil on Ibu Ebi AF5 Meninggal Dunia
Just ada kaitan with gui family on Bermula Jual Aiskrim Kini Bergelar Usahawan Berjaya