HomeUtamaWarga pendidik digalak buat penyelidikan, tambah baik keberkesanan pengajaran dan pembelajaran -...

Warga pendidik digalak buat penyelidikan, tambah baik keberkesanan pengajaran dan pembelajaran – Dr. Kassim

Read Time:2 Minute, 49 Second

KOTA KINABALU: Warga pendidik digalakkan membuat penyelidikan, membuat refleksi dan mengambil tindakan penambahbaikan serta meningkatkan keberkesanan pengajaran dan pembelajaran.

Naib Canselor Universiti Malaysia Sabah, Datuk Prof. Dr. Kassim Mansor berkata, sistem pendidikan sentiasa berubah, kebolehan, gaya pembelajaran pelajar berubah, kemudahan dan persekitan berubah. Dengan itu, para pendidik seharusnya peka dengan perubahan ini dan boleh menggunakan kaedah pengajaran dan pemudahcaraan yang sesuai dan berkesan.

“Justeru, warga pendidik digalakkan membuat penyelidikan, membuat refleksi dan mengambil tindakan penambahbaikan dan meningkatkan keberkesanan pengajaran dan pembelajaran,” katanya semasa berucap pada majlis perasmian penutupan Kolokium Kajian Tindakan dan Pameran Inovasi Pendidikan Kebangsaan 2023, di sini, hari ini.

Kolokium selama dua hari bermula 21 hingga 22 September itu dikelola oleh Sektor Pendidikan Islam Jabatan Pendidikan Negeri Sabah anjuran bersama Bahagian Pendidikan Islam Kementerian Pendidikan Malaysia dan Universiti Malaysia Sabah, bertemakan “Menanggapi Kesenjangan Digital Dalam Pengajaran dan Pembelajaran Pendidikan Islam dan Bahasa Arab”.

Dr Kassim berkata, tema tersebut sangat bertepatan dengan kesediaan dan pencapaian yang diutamakan dalam memartabatkan bidang Pendidikan Islam dan Bahasa Arab.

“Dalam era globalisasi masa kini, dunia pendidikan semakin mencabar dan bersifat kompetatif dalam menyediakan barisan generasi masa hadapan.

“Dunia pendidikan berhadapan dengan pelbagai cabaran baharu berbentuk ekonomi, kebendaan, intelektual, pemikiran, kerohanian, budaya, ideologi dan isu-isu semasa.

“Sehubungan itu, perkongsian penyelidikan-penyelidikan yang semasa dalam bidang kurikulum, pengurusan dan isu-isu semasa pendidikan menjadi satu keperluan kepada Guru Pendidikan Islam dan Bahasa Arab bagi meningkatkan lagi kompetensi dalam mendepani tugasan dan cabaran semasa,” katanya.

Tegas beliau, penyelidikan dalam pendidikan dapat membantu meningkatkan kualiti pendidikan dan pembangunan potensi, intelek, rohani, emosi dan jasmani murid dan pelajar serta membantu menyelesaikan masalah yang dihadapi di dalam dan luar sekolah.

“Kajian terhadap amalan pengajaran dan pedagogi yang di amal oleh guru dapat membantu guru menyelesaikan masalah dan meningkatkan keberkesanan pengajaran termasuk dalam pengurusan dan pentadbiran pendidikan,” ujarnya.

Dr Kassim turut merakamkan ucapan penghargaan dan setinggi-tinggi tahniah kepada jawatankuasa penganjur atas sokongan, dorongan dan semangat untuk melestarikan bidang pendidikan secara holistik demi memartabatkan sistem pendidikan negara.

“Sesungguhnya program ini merupakan gabungan beberapa institusi mencerminkan kesepakatan dan komitmen semua terhadap peranan dan sumbangan dalam membangunkan Pendidikan Islam dan Bahasa Arab dan menjadi tulang belakang dalam menentukan hasrat dan cita-cita murni kementerian tercapai.

“Saya difahamkan penyertaan sebanyak 33 pembentangan kajian tindakan dan 35 gerai pameran inovasi ini terdiri daripada warga pendidikan dari Semenanjung, Sabah, Sarawak Serta Wilayah Persekutuan Labuan. Syabas dan tahniah diucapkan,” tambah beliau.

Sementara itu, Pengarah
Jabatan Pendidikan Negeri Sabah, Raisin Saidin dalam ucapannya turut berkata, Selaras dengan hasil resolusi International Borneo Islamic Education And Arabic Language Convention 2021, iaitu disyorkan agar dipertingkatkan lagi usaha untuk memajukan penghasilan bahan inovasi dalam bilik darjah yang berkualiti dan berimpak tinggi bagi meningkatkan lagi kualiti penyampaian pengajaran dan pembelajaran dalam bilik darjah.

“Saya yakin dan percaya bahawa penganjuran kolokium ini mampu mengumpulkan penyelidik dalam berkongsi pengalaman mengenai kajian tindakan dan inovasi yang telah dijalankan mengenai permasalahan, pengurusan, perkhidmatan dan sebarang isu berkaitan pembelajaran dan pemudahcaraan Pendidikan Islam dan Bahasa Arab.

“Selain itu, penganjuran kolokium ini juga diharap mampu membentuk budaya penyelidikan dalam kalangan Guru Pendidikan Islam dan Bahasa Arab dalam melaksanakan tugas sebagai mudarris, mu’allim, murabbi, muaddib dan mursyid dalam usaha mendidik generasi masa kini, selain cakna dengan keperluan kemahiran yang pelbagai bagi mendepani cabaran-cabaran kontemporari.

“Semoga penganjuran kolokium ini dapat memberi kesan dan pengalaman yang bermakna kepada semua hadirin,” katanya.

RELATED ARTICLES
EkonomiUtama

Capital A Hantar Pelan Pemulihan kepada Bursa Malaysia untuk Keluar dari...

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular