Papar : Hujan renyai sejak awal pagi semalam tidak menghalang penglibatan hampir 1,000 peserta untuk menyertai Program Kayuhan Santai Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Papar di sini.
Ketua Polis Daerah, Superitenden Kamaruddin Ambo Saka berkata, program itu bertujuan bagi mengeratkan hubungan di antara Polis dan masyarakat, di samping menggalakkan amalan budaya hidup sihat serta kempen membanteras jenayah.
“Program kayuhan ini adalah sempena Hari Malaysia dan mendapat sambutan yang sangat memuaskan dengan anggaran peserta yang menyertai seramai 1,000 peserta.
“Malah, kita juga menerima penyertaan daripada pengayuh dari negara jiran, Brunei Darussalam selain pengayuh-pengayuh dari daerah berhampiran dan kelab-kelab berbasikal,” katanya.
Katanya, kayuhan santai tersebut meliputi jarak 30 kilometer dan memerlukan tahap komitmen yang tinggi dalam kalangan peserta ekoran cuaca hujan.
“Kayuhan ini mengambil jarak 30 kilometer bermula dari IPD Papar menuju ke Pantai Manis tembus ke Benoni seterusnya ke Simpudu melalui ke Lebuhraya Pan Borneo sebelum berpatah balik ke Pekan Papar dan berakhir di IPD Papar.
“Cabaran pada kali ini agak berbeza di mana para pengayuh akan melalui Lebuh Raya Pan Borneo ditambah pula dengan cabaran cuaca hujan. Kita berharap para pengayuh akan lebih berhati-hati dengan keselamatan diri masing-masing semasa mengayuh,” katanya ketika ditemui di sini semalam.
Pada majlis itu, acara pelepasan disempurnakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kawang, Datuk Seri Ghulam Haidar Khan Bahadar yang diiringi Timbalan Pesuruhjaya Polis Sabah, Deputi Komisioner Shahurinain Jais.
Turut mengiringi, ADUN Limbahau, Datuk Juil Nuatim dan ADUN Pantai Manis, Datuk Mohd Tamin Zainal serta Ketua Jabatan Siasatan Jenayah, SAC Azmi Abd Rahim.
Selain pameran dan jualan oleh rakan-rakan strategik serta cabutan pengunjung bertuah, majlis dihiburkan oleh Juara Battle Of The Band Polis Kontinjen Sabah 2019, ThunderStorm Band Ipd Kota Kinabalu.