HomePendapatDasar Model Gaji Progresif amat perlu, Rakyat berhak dapat Gaji Bermaruah

Dasar Model Gaji Progresif amat perlu, Rakyat berhak dapat Gaji Bermaruah

Read Time:5 Minute, 53 Second

Oleh WAN AZRAIN ADNAN

1.         Pada Ogos 2023, Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) telah mengumumkan Laporan Statistik Upah Pekerja (Sektor Formal) Suku Pertama 2023. Ianya merupakan pertama kali laporan tersebut di terbitkan oleh DOSM.

2.         Menurut laporan tersebut, pada Mac 2023, jumlah pekerja formal warganegara ialah seramai 6.45 juta orang. Daripada jumlah itu, pekerja formal lelaki adalah seramai 3.58 juta orang (55.5%), manakala pekerja formal wanita adalah 2.87 juta orang (44.5%).

3.         Upah yang di anggarkan pula merangkumi semua ganjaran wang, termasuklah bonus, komisen dan elaun, yang di bayar kepada pekerja untuk pekerjaan yang dilakukan dalam tempoh berkenaan.

4.         Laporan Statistik Upah Pekerja tersebut memberikan gambaran situasi upah pekerja yang genting serta membimbangkan. Data-data utama yang di bentangkan termasuklah:

  • median atau penengah upah bulanan pada Mac 2023 bagi pekerja sektor formal adalah sebanyak RM 2,600 sebulan, di mana ianya lebih sedikit sahaja daripada paras Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) RM 2,589 sebulan
  • 82% atau 5.29 juta pekerja sektor formal menerima gaji kurang dari RM 5,000 sebulan
  • 35% atau 2.26 juta pekerja sektor formal menerima gaji di bawah RM 2,000 sebulan

5.         Laporan Statistik Upah Pekerja tersebut juga menunjukkan perbezaan upah yang ketara di antara sektor-sektor ekonomi negara. Sektor perlombongan dan pengkuarian telah mencatatkan median upah bulanan tertinggi pada Mac 2023, iaitu RM 7,500 sebulan. Manakala, sektor pertanian mencatatkan median upah bulanan terendah, iaitu RM 1,900 sebulan.

6.         Dengan upah yang begitu rendah, dan di tambah pula dengan anggapan bahawa sektor pertanian melibatkan pekerjaan 3D (Dirty, Dangerous, Difficult)/ (Kotor, Merbahaya, Sukar), maka tidak mengejutkan apabila generasi muda tidak berminat untuk menceburi sektor pertanian. Oleh kerana itu, sektor pertanian negara terus mengalami kebergantungan tinggi kepada tenaga kerja asing. Seterusnya, ini memberi pelbagai cabaran kepada pengurusan ekonomi dan sosial negara.

7.         Maka, persoalannya ialah mengapa ramai pekerja di Malaysia menerima upah yang rendah? Sedikit sebanyak persoalan ini mungkin dapat di rungkai dengan meneliti tahap pendidikan dan kemahiran pekerja di Malaysia. Apabila di teliti bersama, data upah yang di laporkan tersebut adalah selari dengan data tahap pendidikan dan kemahiran pekerja.

8.         Menurut Laporan Survei Tenaga Buruh Suku Tahun Pertama 2023 oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), majoriti (65.6%, 10.52 juta orang) penduduk Malaysia yang bekerja hanyalah memiliki pendidikan rendah dan menengah. Malah 2.7% (0.44 juta orang) tidak memiliki pendidikan rasmi.

9.         Tambahan lagi, laporan berkenaan juga menunjukkan bahawa majoriti (72.1%, 11.58 juta orang) penduduk Malaysia yang bekerja adalah pekerja separuh mahir dan berkemahiran rendah.

10.       Dengan jumlah upah yang rendah, ramai rakyat Malaysia yang menghadapi kesukaran untuk menjalani kehidupan seharian dengan selesa di ketika kos sara hidup yang semakin meningkat tinggi. Isu upah rendah ini mesti di tangani bukan sahaja agar rakyat dapat kehidupan lebih selesa sekarang, tetapi juga untuk jangka masa panjang. Jika tidak, rakyat Malaysia akan terus di belenggu dengan kehidupan yang mencabar selepas umur bersara.

11.       Sebagai contoh. Pada awal 2023, Ketua Pegawai Strategi Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) di laporkan berkata bahawa untuk membiayai kehidupan selepas bersara, jumlah RM 600,000 merupakan paras simpanan persaraan yang ideal bagi mereka yang tinggal di kawasan bandar utama seperti Kuala Lumpur. Anggaran paras simpanan persaraan tersebut akan membolehkan seseorang pencarum bujang menjalani kehidupan selesa dengan perbelanjaan RM 2,500 sebulan, untuk tempoh 20 tahun selepas bersara.

12.       Namun begitu, data KWSP ketika itu menunjukkan bahawa hanya 2.6% (350,000 orang) pencarum KWSP yang mencapai paras simpanan persaraan ideal tersebut. Dengan jumlah upah rendah seperti yang di laporkan, sudah pasti majoriti pekerja sukar untuk mencapai paras simpanan persaraan ideal tersebut. Oleh itu, ramai rakyat Malaysia di jangka akan terus menghadapi kesukaran hidup selepas bersara. Ini akan menimbulkan cabaran besar kepada negara.

13.       Sebagai usaha untuk membantu rakyat menangani kos sara hidup yang tinggi, Kerajaan Malaysia melaksanakan pelbagai polisi serta inisiatif yang merangkumi dua pendekatan utama, iaitu; menambah wang di dalam poket rakyat dan mengawal harga barangan di pasaran tempatan.

14.       Kerajaan Malaysia telah lama melaksanakan kawalan harga ke atas beberapa barangan keperluan rakyat seperti minyak masak, ayam, telur dan petrol. Pelaksanaan kawalan harga ini melibatkan perbelanjaan subsidi tahunan yang amat besar. Dalam tempoh lima tahun (2018 – 2022), jumlah subsidi yang di belanjakan oleh Kerajaan Malaysia telah meningkat sebanyak 514% (RM 42.7 billion), dari RM 8.3 billion kepada RM 51 billion.

Jumlah subsidi yang besar dan terus meningkat ini memberi tekanan hebat kepada kewangan negara. It is simply not sustainable!

15.       Di samping itu, Kerajaan Malaysia menambah wang di poket rakyat dengan menyalurkan bantuan terus kepada rakyat. Sebagai contoh: Pada tahun 2023, Kerajaan Malaysia telah melaksanakan Sumbangan Tunai Rahmah (STR), dengan peruntukkan sebanyak RM 8 billion, melibatkan 8.7 juta penerima STR di seluruh negara. Pada masa yang sama, Kerajaan Malaysia juga melaksanakan Sumbangan Asas Rahmah (SARa) untuk kumpulan miskin tegar, dalam bentuk barang keperluan asas tanpa tunai, berjumlah RM 600, dengan kadar RM 100 setiap bulan untuk tempoh 6 bulan.

16.       Namun begitu, inisiatif seperti Sumbangan Tunai Rahmah (STR) ini hanyalah berbentuk ‘one-off’, yang dapat meringankan kesulitan hidup rakyat untuk tempoh yang singkat sahaja. Seperti juga perbelanjaan subsidi, adakah Kerajaan Malaysia mampu untuk melaksanakan inisiatif sebegini secara berterusan untuk jangka masa yang lama? Mungkin tidak.

17.       Justeru itu, pendekatan Kerajaan Malaysia wajar di tumpukan kepada usaha meningkatkan pendapatan bulanan rakyat dengan upah yang lebih tinggi secara jangka masa panjang.

18.       Pada tahun 2013, Kerajaan Malaysia telah mula melaksanakan dasar Gaji Minimum untuk meningkatkan pendapatan pekerja di Malaysia, selaras dengan matlamat menjadi negara berpendapatan tinggi. Sejak di laksanakan, kadar Gaji Minimum telah di semak dan di naikkan beberapa kali; dari RM 900 sebulan kepada RM 1,500 sebulan sekarang. Walaubagaimanapun, pelaksanaan Gaji Minimum masih belum dapat melonjak gaji pekerja di Malaysia, yang kekal rendah sebagaimana yang telah di umumkan di dalam Laporan Statistik Upah Pekerja tersebut. Malah, ada pihak telah mencadangkan supaya kadar Gaji Minimum di naikkan lagi kepada RM 2,000 sebulan agar median upah bulanan meningkat.

19.       Baru-baru ini, Menteri Ekonomi di laporkan berkata bahawa Kerajaan Malaysia akan membentangkan dasar Model Gaji Progresif di dalam Belanjawan 2024 pada bulan Oktober nanti. Beliau menegaskan bahawa pelaksanaan dasar Model Gaji Progresif amat di perlukan untuk membetulkan situasi upah rendah yang di hadapi pekerja ketika ini. Model Gaji Progresif berkenaan di jangka akan di laksanakan bermula sekitar pertengahan tahun 2024.

20.       Rakyat berhak mendapat Gaji Bermaruah, dengan segera.

RELATED ARTICLES
Utama

Jangan terikut-ikut provokasi pihak pertikai perlantikan Tun Musa

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular