HomeIsu tempatanKerjasama UMS-YKN bantu pesakit buah pinggang kronik

Kerjasama UMS-YKN bantu pesakit buah pinggang kronik

Read Time:1 Minute, 40 Second

Kota Kinabalu: Universiti Malaysia Sabah (UMS) menjalin kerjasama dengan Yayasan Kebajikan Negara (YKN) melalui penubuhan Pusat Dialisis UMS-YKN bagi membantu pesakit end stage renal disease (ESRD) atau penyakit buah pinggang kronik bagi mendapatkan rawatan.

Naib Canselor UMS, Profesor Datuk Dr. Kasim Mansor berkata, Pusat Dialisis UMS-YKN menyediakan penjagaan dan rawatan hemodialisis berkualiti tinggi kepada pesakit ESRD.

“Kini, Pusat Dialisis UMS-YKN dilengkapi dengan sembilan kerusi hemodialisis yang boleh memuatkan jumlah maksimum 54 pesakit keseluruhan. Terdapat 14 orang jururawat terlatih dan dua orang pembantu perawatan kesihatan yang bertugas di pusat rawatan tersebut.

“Bukan itu sahaja, perundingan daripada pakar perubatan dan pakar nefrologi profesional dengan pasukan jururawat profesional untuk memastikan penjagaan dan rawatan kejururawatan berkualiti tinggi turut diberikan,” katanya.

Beliau berkata demikian sempena program lawatan oleh Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat merangkap Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah YKN, Dato’ Sri Nancy Shukri ke pusat dialisis tersebut.

Kasim berkata, kemudahan rawatan yang disediakan di Pusat Dialisis UMS-YKN dapat membantu merealisasikan hasrat kerajaan untuk mengurangkan beban rakyat yang berpendapatan rendah bagi mendapatkan rawatan hemodialisis.

“YKN telah melantik UMS bagi melaksanakan perkhidmatan dalam tempoh lima tahun bermula 16 April 2021 sehingga 15 April 2026 dan akan menghantar sejumlah maksimum 18 pesakit ESRD sepanjang tempoh tersebut.

“YKN akan membuat bayaran rawatan bagi setiap pesakit tajaan mereka sebanyak RM250 bagi setiap kali rawatan dengan bilangan maksimum rawatan sebanyak 13 kali sebulan.

“Sepanjang tempoh rawatan tersebut, pendidikan kesihatan dan ceramah dan penilaian pemakanan juga turut diberikan dari semasa ke semasa,” katanya.

Kasim turut memaklumkan, Pusat Dialisis UMS-YKN telah dibuka untuk orang ramai termasuk pelajar dan kakitangan UMS sejak 14 Jun 2017.

Pada majlis tersebut, Kasim dan Ketua Pegawai Eksekutif YKN, Nordina Haron turut menyempurnakan acara Penyerahan Memorandum Persefahaman antara UMS-YKN.

Nancy juga berkesempatan dibawa untuk meninjau kemudahan serta melawat beberapa pesakit yang menerima rawatan di pusat tersebut.

Turut hadir, Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Aiman Athirah Sabtu dan Ketua Setiausaha, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Dr. Maziah Che Yusof. – SABAH MEDIA

RELATED ARTICLES
Isu tempatan

UMS usaha sebar luas pengetahuan berkaitan HIV AIDS

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular