HomeSukanPiala Malaysia : Tahap kecergasan pemain, padang lembab punca Sabah FC tewas

Piala Malaysia : Tahap kecergasan pemain, padang lembab punca Sabah FC tewas

Read Time:1 Minute, 26 Second

Kota Kinabalu : Tahap kecergasan pemain selain keadaan padang lembab menjadi antara punca Sabah FC tewas tipis 0-1 kepada Perak FC pada aksi saingan suku akhir kedua Piala Malaysia di Stadium Ipoh malam tadi.

Keputusan itu menyaksikan Perak FC mara ke peringkat separuh akhir dengan agregat 3-2 selepas terikat 2-2 dalam aksi pertama di Stadium Likas, 15 September lalu.

Ketua Jurulatih Sabah FC Datuk Ong Kim Swee mengakui situasi terbabit terjadi pada perlawanan pertama di Stadium Likas sebelum ini apabila seri 2-2, sekali gus menyebabkan pemainnya gagal mempamerkan aksi mantap untuk menempah tiket separuh akhir Piala Malaysia.

“Keadaan padang yang agak lembab termasuk tempoh hari ketika bermain di Likas, kemudian selang beberapa hari kami bermain lagi, jadi ini adalah antara beberapa faktor yang menyebabkan pemain kami keletihan.

“Jumaat nanti, kami akan bermain menentang Kelantan di tempat lawan. Jadi saya harus fikirkan banyak perkara terutama aspek kecergasan pemain sebelum bermain dengan pasukan Makassar di Bali nanti,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas tamat perlawanan semalam.

Meskipun skuad Badak dibarisi skuad utama termasuk menyenaraikan beberapa pemain kebangsaan, Kim Swee berkata, itu bukanlah jaminan kepada pasukannya meraih kemenangan menentang Perak FC.

Beliau turut mengucapkan syabas buat anak buah Yusri Che Lah kerana menunjukkan semangat melawan tinggi sehingga menembusi peringkat separuh akhir.

“Saya ucapkan tahniah kepada Perak yang bersungguh-sungguh ingin mendapatkan keputusan untuk layak, semoga dapat buat yang terbaik untuk berdepan dengan Johor Darul Ta’zim (JDT) nanti.

“Ini akan memberi suatu impak yang berlainan kepada penyokong Perak untuk terus melangkah lebih jauh,” katanya.

Pada aksi malam tadi, Perak FC membuat kejutan apabila menempah slot separuh akhir Piala Malaysia apabila menewaskan Sabah 1-0 menerusi jaringan Wan Zack Haikal Wan Nor. – SABAH MEDIA / FOTO SABAH FC

RELATED ARTICLES
Sukan

Sokongan berterusan Kerajaan negeri suntik semangat Sabah FC 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular