HomeUtamaMasalah sosial dalam kalangan kanak-kanak perlu diberi perhatian

Masalah sosial dalam kalangan kanak-kanak perlu diberi perhatian

Read Time:2 Minute, 4 Second

Tawau: Sebanyak 153 kes jenayah dicatatkan di negeri ini melibatkan kanak-kanak pada tahun 2021.

Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat, Datuk James Ratib berkata, berdasarkan statistik Jabatan Kebajikan Masyarakat, kumpulan etnik pribumi Sabah menyumbang sebanyak 94 kes.

Katanya, ia melibatkan pecahan jumlah kanak-kanak lelaki sebanyak 77 kes manakala 17 kes lagi melibatkan kanak-kanak perempuan.

“Masalah sosial terutama kes dadah merupakan penyumbang tertinggi iaitu sebanyak 1,052 kes melibatkan kanak-kanak lelaki  dengan 916 kes dan kanak-kanak perempuan 136 kes.

“Penglibatan kanak-kanak dalam tingkah laku serta masalah sosial ini antaranya berpunca daripada ikatan dan kawalan ibu bapa yang lemah selain faktor demografi ibu bapa seperti pendapatan, pendidikan, status perkahwinan serta hal-hal lain yang mempengaruhi tingkah laku anak-anak yang membawa kepada permasalahan ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Program Kesedaran Mengenai Isu-Isu Sosial dan Tanggungjawab Ibu Bapa Terhadap Anak di sini, baru-baru ini.

Teks ucapan beliau dibacakan Timbalan Pengerusi Majlis Penasihat Wanita Sabah (MPWS) Baiyah Ag. Mahmon.

James berkata, masalah sosial seperti kes dadah perlulah diberi penekanan sewajarnya dan langkah pencegahan perlu diambil bukan sahaja oleh kerajaan malahan ibu bapa dan masyarakat juga perlu memainkan peranan penting.

“Generasi muda ini perlulah dibentuk dan dipersiapkan agar menjadi generasi yang mampan, berdaya saing dan bersedia dalam menghadapi apa jua cabaran pada masa akan datang,” katanya.

Menurut James, masalah institusi keluarga seperti pergaduhan, perceraian serta pengabaian dan penderaan anak-anak semakin membimbangkan.

“Jika suami dan isteri dapat menghayati sifat ihsan dan saling sayang menyayangi serta percaya dan yakin di antara satu sama lain seperti yang diterapkan dalam konsep Malaysia Madani, kita dapat mengurangkan kadar perceraian di negara ini di samping anak-anak juga tidak akan terbiar tanpa kasih sayang yang secukupnya.

“Dalam konteks ini, ihsan dilihat antara rukun yang boleh menjadi tonggak paling signifikan dalam menyumbang kepada pembentukan masyarakat madani.

“Sifat ihsan mencerminkan ciri-ciri keperibadian mulia yang wajar dimiliki oleh setiap anggota masyarakat supaya kita dapat meneruskan kehidupan dalam suasana dan persekitaran yang selamat, harmoni dan sejahtera.

“Justeru kempen kesedaran mengenai isu-isu sosial perlu dipergiatkan agar rakyat memahami setiap sifat ihsan ini,” katanya,

Majlis anjuran MPWS tersebut disertai 120 orang yang terdiri daripada para guru, guru kaunselor, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), persatuan dan kelab pertubuhan bukan kerajaan sekitar daerah tersebut.

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Sosial MPWS merangkap Pengerusi Jawatankuasa Penganjur Program Kesedaran Mengenai Isu-Isu Sosial dan Tanggungjawab Ibu Bapa Terhadap Anak, Prof. Madya Dr Muhammad Idris Bullare @Bahari.

RELATED ARTICLES
Utama

Kaamatan wadah promosi perpaduan sosial, jambatan persefahaman – Dr. Joachim

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular