HomeUtamaUMS, UNISSAS meterai kerjasama penyelidikan kearifan tempatan Borneo

UMS, UNISSAS meterai kerjasama penyelidikan kearifan tempatan Borneo

Read Time:1 Minute, 45 Second

SAMBAS: Universiti Malaysia Sabah (UMS) dan Universitas Sultan Muhammad Syafiuddin Sambas (UNISSAS) memeterai perjanjian kerjasama penyelidikan yang dijangka memperkukuh pembangunan ilmu, penyelidikan serta pemeliharaan kearifan tempatan masyarakat Borneo di peringkat antarabangsa.

Perjanjian itu dimeterai sempena International Conference on Local Wisdom and the Identity of the Malay Community in Borneo yang berlangsung di Sambas, Kalimantan Barat, Indonesia baru-baru ini.

Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UMS, Profesor Ir. Dr. Rosalam Sarbatly, mewakili UMS bersama Fakulti Pengajian Islam (FIS) UMS menandatangani perjanjian berkenaan dengan Rektor UNISSAS, Dr. H. Arnadi.

Kerjasama tersebut merangkumi penyelidikan bersama, penerbitan ilmiah, mobiliti akademik, pembangunan bakat, pertukaran kepakaran, penganjuran program akademik serta pengembangan ilmu berkaitan masyarakat, budaya dan peradaban Borneo.

Majlis pemeteraian itu disaksikan Dekan FIS UMS, Profesor Dr. Muhamad Suhaimi Taat; Wakil Rektor UNISSAS, Profesor Dr. Sumar’in; Direktur Pascasarjana UNISSAS, Profesor Madya Dr. Purniadi; serta Anggota DPRD Provinsi Kalimantan Barat, Subhan Nur.

Pada persidangan berkenaan, Rosalam menyampaikan ucaptama bertajuk Local Wisdom and Malay Identity in Borneo: Lessons for Sustainable Development and Future Innovation.

Menurut beliau, kearifan tempatan masyarakat Borneo bukan sekadar warisan budaya yang perlu dipelihara, malah merupakan sumber ilmu, inovasi dan penyelesaian yang masih relevan dalam mendepani cabaran pembangunan lestari masa kini.

“Universiti berperanan penting dalam memastikan pengetahuan tradisional terus didokumentasikan, dikaji dan diterjemahkan kepada penyelesaian yang memberi manfaat kepada masyarakat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam pembentangannya, beliau turut berkongsi pengalaman UMS melalui pendekatan Living Lab, Borneo Festival of Ideas (BFOI), Pertandingan Inovasi Kearifan Borneo (PIKB) dan konsep Tropical Living University yang menghubungkan universiti dengan komuniti dalam menghasilkan penyelidikan serta inovasi berimpak tinggi.

Rosalam berkata, kerjasama rentas sempadan antara institusi pengajian tinggi amat penting dalam memperluaskan jaringan akademik, meningkatkan penerbitan ilmiah serta menggalakkan perkongsian kepakaran yang dapat menyumbang kepada pembangunan masyarakat serantau.

“Perjanjian yang dimeterai ini akan menjadi landasan kepada pelaksanaan pelbagai program akademik dan penyelidikan yang berteraskan identiti serta budaya Borneo, sekali gus memberi manfaat kepada masyarakat di kedua-dua negara,” katanya.

Sementara itu, seramai sembilan ahli akademik daripada FIS UMS turut membentangkan hasil penyelidikan masing-masing dalam bidang pengajian Islam, identiti Melayu Borneo, pembangunan masyarakat, pendidikan dan isu semasa.

RELATED ARTICLES
Utama

Lebih 1,300 Bintang Laut Mahkota Duri disingkir dari terumbu karang Semporna

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular