HomeUtamaKomunikasi, pengangkutan cabaran getir hantar bekalan makanan ke Pensiangan

Komunikasi, pengangkutan cabaran getir hantar bekalan makanan ke Pensiangan

Read Time:2 Minute, 13 Second

BERNAMA

Nabawan :  Ketiadaan perkhidmatan telekomunikasi dan sistem pengangkutan selain jalan terputus, merupakan cabaran getir terpaksa dihadapi bagi menghantar bekalan makanan ke kawasan terpencil Pensiangan dekat sini, yang terputus hubungan akibat tanah runtuh sejak 5 Sept lalu.

Ketua Forces Of Love (FOL) Sabah, sebuah badan bukan kerajaan Then Chun Tak berkata perkara itu juga telah menyebabkan kerja-kerja pengumpulan data mengenai penduduk yang memerlukan bantuan serta laporan kejadian itu menjadi amat sukar dan lambat.

Beliau berkata ini kerana kesemua perkara itu, perlu dilakukan secara manual dengan menaiki bot selain berjalan kaki dari kampung ke kampung.

“Pasukan di lapangan juga bergantung kepada internet sekolah dan klinik kesihatan untuk membantu penghantaran maklumat, atau pun perlu turun ke Pekan Pensiangan untuk mendapatkan kemudahan Internet berikutan ketiadaan perkhidmatan telekomunikasi.

“Namun keadaan ini tidak mematahkan semangat kami untuk meneruskan misi bantuan. Penghantaran pertama sebanyak 2.3 tan bahan makanan dilakukan FOL dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) menggunakan laluan sungai, yang memakan masa perjalanan kira-kira 18 jam pada 12 Sept lalu,” katanya ketika dihubungi semalam.

Then berkata penghantaran kedua sebanyak 10.45 tan bahan makanan termasuk lapan tan dari Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan 2.45 tan disumbangkan FOL, pula dihantar menggunakan helikopter JBPM dan PDRM (Polis Diraja Malaysia) semalam.

Beliau berkata bantuan makanan seperti beras, susu, biskut dan makanan dalam tin itu, akan diagihkan kepada keluarga terjejas di beberapa kampung terpencil antaranya Kampung Kabu, Saliliran, Siatu, Simohong, Karampalon, Babayasing, Dobolon, Sibangali dan Pengaraan.

Semalam, media melaporkan JBPM Sabah bersama agensi kerajaan dan NGO, telah menjalankan misi menghantar bantuan bakul makanan menggunakan helikopter kepada kira-kira 500 penduduk di beberapa kampung dekat Pensiangan, yang terputus bekalan susulan tanah runtuh sejak 5 Sept lepas.

Sementara itu, Ahli Parlimen Pensiangan Datuk Arthur Kurup berkata Pejabat Daerah Nabawan dan Jabatan Kerja Raya (JKR) Nabawan telah melaksanakan penyelenggaraan serta merta, agar penduduk kampung dapat menggunakan semula jalan tersebut dan menambah kekuatan jentera berat beroperasi pada 8 Sept.

Arthur berkata beliau telah bertemu dengan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 14 Sept, untuk membentang laporan kerosakan kejadian itu dan anggaran kos pembaikkan diperlukan, dan Perdana Menteri telah meluluskan bantuan kecemasan bagi penyelenggaraan jalan serta pembinaan jambatan baharu.

“Saya amat bersimpati dengan kejadian bencana alam yang berlaku dan saya akan berusaha dengan sedaya upaya bagi mempercepatkan kerja-kerja pembaikan jalan, untuk kemudahan masyarakat di kawasan tersebut.

“Saya berterima kasih kepada semua yang telah menghulurkan bantuan kecemasan dan turut mengalu-alukan sekiranya terdapat mana-mana pihak yang ingin menghulurkan bantuan,” katanya.

Beliau berkata pihak yang ingin menghulurkan bantuan boleh berhubung dengan Pegawai Daerah Nabawan Peter Jiton selaku Pengerusi Jawatankuasa Bencana Daerah, bagi tujuan penyelarasan serta memastikan bantuan tersebut sampai kepada penerima. – BERNAMA / FOTO BOMBA

RELATED ARTICLES
Utama

Sabah hargai keprihatinan Kerajaan Persekutuan bantu tingkat keterjaminan makanan

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular