Kota Kinabalu : Lembaga Pengarah Universiti Malaysia Sabah (UMS) menghargai komitmen Kerajaan Negeri bagi menyelesaikan isu bekalan air di Sabah termasuk yang dihadapi warga universiti khususnya di Kampus Kota Kinabalu
Pengerusi Lembaga Pengarah UMS Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan berkata, pihaknya juga memberi jaminan akan menyelesaikan isu berkaitan air termasuk yang menjejaskan keselesaan pelajar dan warganya.
“Pihak kita bersama pengurusan universiti sudah merangka pelan penyelesaian yang diyakini dapat menangani masalah ini.
“Kita ada pelan untuk menyelesaikan masalah air di UMS. InsyaAllah dalam masa terdekat ia dapat diselesaikan dan penginapan pelajar juga akan menjadi lebih selesa,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Ikrar dan Aku Janji pelajar baharu UMS sempena Minggu Suai Mesra Sesi 2023 / 2024 di UMS Kampus Kota Kinabalu, di sini,semalam.
Majlis itu disaksikan Ketua Menteri Sabah yang juga Pro Canselor UMS, Datuk Seri Hajiji Noor dan Naib Canselor UMS, Prof Datuk Dr Kasim Mansur.
Abdul Rahman berkata, selaku Pengerusi Lembaga Pengarah UMS, beliau sentiasa menginginkan agar setiap pelajar berasa ‘enjoy’ dengan ‘campus life’.
“Saya, bersama ahli-ahli lembaga pengarah dan pengurusan universiti sentiasa mencari jalan agar segala kemudahan yang ada di universiti sentiasa dijaga.
“Hal yang demikian dapat memberi keselesaan kepada pelajar yang mengikuti pengajian di UMS,” katanya.
Berdasarkan laporan sebelum ini, UMS adalah antara kawasan yang berdepan masalah gangguan air berikutan kekurangan bekalan dari Loji Rawatan Air (LRA) di Tuaran yang menyalurkan air ke kawasan utara bandar raya Kota Kinabalu.
Berikutan itu, UMS terpaksa mengambil beberapa inisiatif termasuk meningkatkan penghantaran air menggunakan lori tangki dari Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) dan membina sistem bekalan air graviti menggunakan sumber air bukit di kawasan kampus.
Kerajaan negeri sebelum ini memberi jaminan bekalan air untuk kawasan utara Kota Kinabalu, termasuk UMS akan ditingkatkan setelah kerja akhir proses naik taraf loji di Tuaran siap dan dijadual beroperasi sepenuhnya pada awal tahun depan. – SABAH MEDIA / FOTO UMS