Kota Kinabalu : Sabah FC yakin mampu melakar keputusan yang baik pada aksi kedua Kumpulan H Piala Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) menentang PSM Makassar di Stadium Kapten I Wayan Dipta, Gianyar, Bali, Indonesia, malam ini.
Meskipun bermain ditempat lawan, namun pengendali Sabah FC Datuk Ong Kim Swee tidak bimbang dengan rekod tempat lawan kerana Piala AFC dianggap kejohanan berbeza berbanding Liga Malaysia (Liga M).
Katanya, keyakinan untuk melakar keputusan baik itu adalah bersandarkan pencapaian Sabah FC menewaskan Hougang United FC dari Singapura 3-1 ketika aksi pertama Piala AFC di Stadium Likas, di sini, pada 21 September lalu.
“PSM Makassar sudah pasti mahu bangkit selepas tewas di tangan pasukan Vietnam (Hai Phong FC) pada perlawanan pertama baru-baru ini.
“Tapi, kita tetap berharap untuk mendapatkan keputusan yang baik berdasarkan pencapaian Sabah FC ketika melawan Hougang sebelum ini,” katanya pada sidang media di Bali, Indonesia, di sini semalam.
Kim Swee berkata, pasukannya telah melakukan persediaan awal untuk menghadapi PSM Makassar di Bali kerana mengetahui tugas berat yang terpaksa Sabah FC hadapi menentang pasukan dari Indonesia itu.
Beliau turut menyifatkan setiap latihan pemain sebagai ‘special’ berdasarkan siapa lawan dan ‘stail’ permainan yang akan dihadapi pasukannya setiap kali ada perlawanan dalam apa-apa kejohanan.
“Bezanya kali ini, kita berada di sini (Bali) lebih awal dan itu diharap dapat membantu memudahkan kita berdepan dengan PSM Makassar,” katanya.
Pasukan Sabah FC tiba awal di Bali, Indonesia sejak tiga hari lalu bagi membuat persediaan rapi menghadapi PSM Makassar, malam esok. – SABAH MEDIA