Kota Kinabalu : Pemain Sabah FC perlu kekal fokus bagi menghadapi perlawanan akan datang meskipun berjaya menewaskan PSM Makassar 5-0 dalam aksi kedua Kumpulan H Piala Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) 2023 di Stadium Kapten I Wayan Dipta, Gianyar, Bali semalam.
Ketua Jurulatih Sabah FC Datuk Ong Kim Swee berkata, semua pemain berjaya mengikut ‘game plan’ yang dirancang namun mengakui tidak boleh gembira dengan kemenangan itu.
“Kami bermain mengikut perancangan dan PSM Makasar yang kehilangan seorang pemain sedikit sebanyak membantu namun kami tidak boleh terlalu gembira dengan kemenangan ini dan perlu fokus untuk perlawanan akan datang.
“Saya ucapkan tahniah kepada semua pemain kerana mereka berjaya mengikut apa yang dirancang dan akhirnya kami berjaya mencipta kemenangan selain dibantu kekurangan seorang pemain pasukan lawan,” katanya dalam sidang media selepas perlawanan itu semalam.
Perlawanan itu menyaksikan Sabah berpesta gol menerusi dua jaringan Darren Lok dan masing-masing satu dari Gabriel Peres, Stuart Wilkin dan Farhan Roslan sekaligus membolehkan Sabah FC berada ditangga teratas kumpulan.
Kim Swee berkata, meskipun pemain mempunyai beberapa isu di luar padang tetapi telah berjaya membuktikan dengan menunjukkan mentaliti yang cukup baik dan pasukannya berjaya mendapatkan mata penuh dengan jumlah jaringan yang banyak.
Dalam pada itu, beliau turut memuji aksi yang ditunjukkan Saddil Ramdhani apabila mencipta tiga bantuan jaringan selain turut merasakan masih terlalu awal buat pasukannya untuk memikirkan kelayakan ke peringkat seterusnya.
“Dah tentu beliau (Saddil) ingin membuktikan sesuatu yang dia adalah seorang pemain yang cukup bertaraf tingi dan terbaik di Asia Tenggara. Namun ianya masih terlalu awal dan dia juga masih muda. Saya harap dia dapat akan teruskan prestasi yang positif dalam perlawanan akan datang,” katanya.
“Masih terlalu awal untuk berasa selesa kerana baru dua perlawanan dan perlu kekalkan momentum serta fokus dari satu perlawanan ke satu perlawanan di mana kita tidak ingin memikirkan kita akan layak namun perlu memikirkan yang kita hanya baharu bermain dua perlawanan,” katanya.
Kemenangan ke atas PSM Makassar 5-0 itu menyaksikan Sabah FC berada di tangga teratas Kumpulan H dengan mengutip enam mata diekori Hougang United dan Haiphong FC masing-masing dengan tiga mata manakala PSM Makassar tercorot tanpa sebarang mata selepas berakhir dua perlawanan.
Sabah FC akan bertemu Hai Fong FC dari Vietnam pada 25 Oktober di Stadium Lach Tray Vietnam – SABAH MEDIA / FOTO SABAH FC