HomeUtamaKekalkan semangat harmoni, raikan perayaan bersama - Hajiji

Kekalkan semangat harmoni, raikan perayaan bersama – Hajiji

Read Time:1 Minute, 39 Second

Tuaran : Kerajaan negeri sentiasa mengalu-alukan aktiviti seperti Pesta Tanglung yang boleh menguatkan lagi semangat kekitaan dan bertolak ansur dalam masyarakat.

Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata, Kerajaan juga sentiasa memberi sokongan kepada semua kaum untuk meraikan perayaan masing-masing, di negeri ini.

“Ia bagi memastikan budaya yang diwarisi daripada nenek moyang kita dapat diwarisi anak- anak muda dan dalam masa sama tidak akan pupus ditelan zaman.

“Saya berharap acara ini akan dilihat sebagai satu lagi jambatan ke arah memperkukuhkan perpaduan dan keharmonian dalam kalangan rakyat berbilang kaum di Sabah.

“Ini juga sesuai dengan semangat Konsep Malaysia Madani yang diperkenalkan oleh Perdana Menteri Malaysia,” katanya.

Beliau berkata demikian sempena majlis perasmian Pesta Tanglung 2023 di Dewan Seri Sulaman di sini malam ini.

Hajiji berkata, beliau turut memberi jaminan akan memastikan masyarakat Cina di negeri ini bersama-sama dengan Kerajaan untuk membangunkan Sabah.

“Itulah apabila saya menjadi Ketua Menteri, saya lihat dimana keperluan seluruh masyarakat termasuklah masyarakat Tionghua dan bukan Islam. Kita beri peruntukan tahunan yang besar,” katanya.

Dalam pada itu, Hajiji berkata, Sabah sememangnya unik kerana dalam sebuah keluarga besar pasti mempunyai pelbagai agama dan kaum namun tetap utuh sebagai sebuah keluarga.

“Justeru, saya meminta rakyat Sabah supaya terus mengekalkan semangat harmoni tanpa mengira kaum dan agama serta raikanlah setiap perayaan bersama-sama,” katanya.

Sementara itu, Hajiji  turut berasa gembira kerana Pesta Tanglung ini bukan sahaja disambut oleh mereka yang berketurunan Cina malah turut dimeriahkan oleh pelbagai suku kaum lain di negeri ini.

“Keadaan ini menunjukkan kaum-kaum lain juga berminat untuk sama-sama memeriahkan pesta ini. Selain perayaan Tahun Baharu Cina, Pesta Tanglung juga merupakan acara yang sangat penting bagi masyarakat Cina di negara ini. Kita sangat bersyukur kerana, Malaysia kaya dengan pelbagai budaya dan tradisi, khususnya di Sabah, negeri kita yang tercinta.

“Saya berharap masyarakat Tionghua dan rakyat secara keseluruhannya akan sentiasa bersama-sama kerajaan untuk membangunkan negeri ini,” katanya.

Sebanyak 17 kontinjen daripada sekolah-sekolah dan pelbagai persatuan menyertai pertandingan Pesta Tanglung. SABAH MEDIA / FOTO JKM

RELATED ARTICLES
EkonomiUtama

RM7 juta disediakan untuk fasa pertama naiktaraf 38 Tamu Desa di...

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular