HomeUtamaKerajaan tekad perhebat pembangunan negeri Sabah

Kerajaan tekad perhebat pembangunan negeri Sabah

Read Time:2 Minute, 23 Second

KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri bertekad memperhebatkan lagi pembangunan negeri Sabah disamping menambah baik kualiti hidup rakyat menerusi pelaksanaan pelbagai program dan inisiatif yang meliputi pelbagai sektor pembangunan, kata Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor.

Seiring dengan komitmen itu, katanya Kerajaan negeri akan menubuhkan dua lagi taman perindustrian baharu iaitu di Kimanis bagi minyak dan gas dan taman perindustrian biasa di kawasan antara Kota Marudu dan Kota Belud.

Beliau berkata, penubuhan taman perindustrian baharu itu dilakukan susulan dua taman perindustrian sedia ada iaitu Taman Perindustrian Minyak dan Gas Sipitang (Sogip) dan Taman Perindustrian Kota Kinabalu (KKIP) telah hampir penuh.

“Usaha ini juga sejajar dengan pendekatan mesra pelabur yang diamalkan kerajaan untuk merancakkan lagi pertumbuhan industri di negeri ini”, katanya dalam ucapan menjunjung kasih pada Majlis Istiadat Pengurniaan Darjah-Darjah Kebesaran dan Bintang-Bintang serta Pingat-Pingat Negeri Sabah Sempena Sambutan Ulang Tahun Kelahiran Rasmi Ke-70 Yang Di-Pertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin di Istana Negeri pada Sabtu.

Hajiji berkata, dalam tempoh baharu tiga tahun menerajui negeri ini, agenda pembangunan negeri khususnya Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) kini berada di landasan yang betul dan mula menampakkan hasil positif.

Menurutnya, kejayaan turut dicapai dalam pelbagai sektor yang diberi keutamaan menerusi SMJ seperti perindustrian, pertanian dan pelancongan termasuk pembangunan modal insan bagi memastikan anak-anak tidak tercicir dalam aspek
pendidikan dan peluang pekerjaan.

Katanya, menurut laporan Statistik Perdagangan Luar Negeri Sabah, negeri ini telah mencatatkan jumlah perdagangan sebanyak RM118.1 billion pada tahun 2022, yang
merangkumi eksport sebanyak RM77.2 billion dan import RM40.9 billion, dengan lebihan dagangan sebanyak RM36.2 billion.

“Dari segi eksport ia membabitkan produk perdagangan utama antaranya petroleum mentah, minyak kelapa Sawit dan gas asli cecair manakala import kita ialah jentera dan kelengkapan pengangkutan, makanan serta barangan keluaran kilang.

“Walaupun pencapaian ini amat memberangsangkan, namun banyak lagi yang perlu kita lakukan untuk tahun-tahun mendatang, khususnya membabitkan tiga teras utama Hala Tuju Sabah Maju Jaya iaitu sektor perindustrian, pertanian dan pelancongan,” tambahnya.

Hajiji berkata, dalam aspek pelancongan, jumlah ketibaan pelancong ke Sabah semakin
meningkat iaitu seramai 1.4 juta pengunjung dalam tempoh Januari hingga Julai 2023, dengan pelancong tempatan seramai 999,129 dan antarabangsa 424,052 orang.

Menurutnya, perkembangan itu jelas bahawa sektor pelancongan di Sabah terus menunjukkan pertumbuhan kukuh untuk tahun ini dan masa-masa akan datang.

“Sesungguhnya, kerajaan negeri adalah kerajaan yang bertanggungjawab, bukan saja memikirkan dan merancang, malah lebih penting ialah melaksanakan agenda pembangunan. Kerajaan negeri komited dan akan berusaha untuk menyelesaikan masalah-masalah legasi yang kita warisi seperti bekalan air dan eletrik demi kesejahteraan rakyat”, tegasnya.

Sementara itu, Hajiji dan isteri Datin Seri Panglima Datuk Hajah Juliah Salag menghadiri Istidat Perbarisan sempena Ulang Tahun Kelahiran Rasmi ke-70 Yang Di-Pertua Negeri
di Padang Merdeka.

Istiadat perbarisan itu disertai oleh jabatan kerajaan tidak berpakaian seragam rasmi, agensi swasta, pertubuhan bukan kerajaan, persatuan etnik Sabah, IPTA, IPTS, sekolah menengah dan sekolah rendah.

RELATED ARTICLES
Utama

Pembangunan infrastruktur asas, utiliti perlu perhatian khusus

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular