HomeUtamaTolak ansur, raikan kepelbagaian dan perbezaan - TYT Sabah

Tolak ansur, raikan kepelbagaian dan perbezaan – TYT Sabah

Read Time:2 Minute, 4 Second

Kota Kinabalu : Semua lapisan masyarakat di negeri ini perlu bertolak ansur dan meraikan kepelbagaian dan perbezaan.

Yang di-Pertua Negeri, Tun Juhar Mahiruddin berkata, sikap saling hormat-menghormati dan bersatu-padu dalam kalangan rakyat yang berbilang kaum dan agama adalah merupakan salah satu faktor yang dapat menyatukan negara.

“Semua lapisan masyarakat perlu bertolak ansur dan meraikan kepelbagaian dan perbezaan sebagai suatu kelebihan serta sentiasa berwaspada terhadap sensitiviti agama dan budaya pelbagai kaum.

“Saya berharap agar kita semua bersama-sama menjaga nilai-nilai ini untuk mempertahankan negeri ini agar terus harmoni dan kukuh.

“Negeri Sabah sendiri adalah contoh nyata perpaduan dalam kepelbagaian apabila Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia diraikan penuh gilang-gemilang dengan menyaksikan pelbagai kaum dan peringkat usia menzahirkan semangat dan rasa cinta akan tanah air.

“Adalah menjadi hasrat saya agar negeri ini terus mengekalkan keamanan dan keharmonian rakyat dapat hidup selesa dan bertambah makmur serta berusaha lebih gigih dalam membangunkan negeri ini,” katanya dalam Perutusan Ulang Tahun Kelahiran Rasmi Yang Ke-70 di Istana Seri Kinabalu, di sini hari ini

Dalam perutusannya juga, Tun Juhar turut menggesa masyarakat  agar melestarikan budaya integriti dalam kepimpinan pentadbiran dan perkhidmatan.

“Budaya integriti yang diamalkan secara berterusan mampu menjamin negeri ini diurustadbir dengan penuh tanggungjawab dan baik.

“Ini kerana amanah dan tanggungjawab yang berpaksikan kepada integriti dapat meningkatkan keyakinan rakyat, komuniti perniagaan, pelabur-pelabur tempatan dan luar negeri terutama terhadap kepimpinan pentadbiran kerajaan untuk memastikan rakyat menikmati pembangunan yang dijanjikan,” katanya.

Di samping itu,  Tun Juhar turut menyarankan agar rakyat terutamanya golongan belia agar sentiasa bersedia untuk meneroka dan mampu beradaptasi dengan mempelajari kemahiran baharu, terbuka minda kepada perubahan serta celik digital agar kekal relevan dalam perkembangan pantas dunia digital hari ini.

Tun Juhar turut merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada semua peringkat kepimpinan, baik di peringkat Negeri mahupun di peringkat Persekutuan serta seluruh rakyat atas ucapan tahniah dan doa sempena ulang tahun kelahiran rasminya pada hari ini.

Penghargaan turut dizahirkan kepada seluruh anggota perkhidmatan awam, pasukan keselamatan, agensi-agensi penguatkuasa, sektor swasta dan semua pihak atas dedikasi dan sumbangan kepada kesejahteraan dan keamanan negeri ini.

Hadir sama pada Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran Negeri sempena Hari Jadi Rasmi Ke-70 itu ialah Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Mohd Noor dan isteri Datin Seri Julia Salag, Timbalan-timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Dr. Jeffrey G. Kitingan, Datuk Seri  Dr. Joachim Gunsalam dan Datuk Ir. Shahelmey Yahya, Speaker Dewan Undangan Negeri Sabah, Datuk Seri Kadzim M. Yahya, jemaah kabinet negeri serta ketua-ketua jabatan  negeri dan persekutuan.

RELATED ARTICLES
Utama

SSMJ kerjasama dengan agensi Kerajaan pastikan miskin tegar di Sabah dinoktahkan...

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular