HomeIsu tempatanOrang ramai dipelawa meriahkan 'Malam Pesta Muda Mudi'

Orang ramai dipelawa meriahkan ‘Malam Pesta Muda Mudi’

Read Time:2 Minute, 30 Second

Kota Kinabalu : Beberapa artis tempatan Sabah bakal menemui peminat mereka pada program ‘Malam Pesta Muda Mudi’ sempena Tadau Sukod Wagu yang berlangsung pada malam ini bertempat di Pentas Luar Hongkod Koisaan KDCA, Penampang.

Antara artis tempatan yang akan membuat persembahan Benn Simon Bukag, Maldini Sidney, Felix Agus, Asbow Daling-Daling, Malvin Kalbin, Mc Ryan, Alister Alai, Apprilissa Sue Ann, Marlleynney Fane, Lotter AF, dan kumpulan Headhunters.

Acara tersebut juga bakal menyaksikan kehadiran DJ Rayner Ray, yang sering menghiburkan netizen dengan telatah dan kepetahannya bercakap dalam bahasa Dusun di media sosial, sebagai pengacara.

Selain artis tempatan Sabah, turut ditampilkan beberapa selebriti, pempengaruh media sosial dan belia yang berjaya di dalam bidang yang diceburi mereka masing-masing.

Tiktoker yang sering muncul dengan video lucu bersama anaknya Kumbibi, DavidVidz Totorial, juga akan turut bersama peminat mereka pada malam tersebut.

Selain itu, Chelsea Apple, seorang pempengaruh atau influencer di Tiktok, merupakan belia usahawan cendawan dari Tamparuli, turut ditampilkan sebagai contoh usahawan belia wanita yang berjaya.

Seorang lagi usahawan muda, Ian Brolin, turut ditampilkan bagi memberi inspirasi kepada golongan muda tentang bagaimana seorang pelajar di Institut Pengajian Tinggi memulakan perniagaan secara maya dengan jenama pakaian ‘Borneo Headhunters’, yang kini telah berjaya menjual lebih satu juta helai baju.

Pengerusi Penganjur yang juga Pengerusi KDCA Youth Council (KYC), Steve Johnny Mositun, berkata, selain acara hiburan melibatkan belia-belia dalam kalangan artis tempatan Sabah itu, pelbagai lagi acara dan pertandingan menarik bakal disajikan kepada masyarakat yang hadir.

Lebih menarik, para Content Creator yang hadir juga berpeluang memenangi hadiah dengan membuat video kreatif mengenai acara berkenaan, dan penyertaan adalah percuma.

“Program yang julung kalinya diadakan ini bertujuan mengumpulkan seberapa ramai anak muda dalam kalangan Bumiputera Sabah, di mana sepanjang sambutan besar-besaran itu, pengunjung juga dapat menikmati pelbagai jualan daripada gerai-gerai jualan yang ada.

“Terdapat satu aktiviti pengisian khas kita iaitu Kempen Menderma Darah, bagi meningkatkan kesedaran mengenai pentingnya amalan menderma darah, menanam keperihatinan terhadap penderitaan insan memerlukan dan meningkatkan kesedaran perlunya tubuh badan sihat, dan mengamalkan gaya hidup sihat dalam kalangan belia.

“Bagi menanam minat orang muda terhadap sukan dan permainan dulu-dulu, kita juga ada pertandingan Mainan Dulu-Dulu dan Sukan Orang Kita,” katanya.

Manakala, para penggemar seni tarian, turut berpeluang menyertai KYC Talent Dance Show sempena pesta tersebut.

“Kepada para peminat seni peragaan Cosplay, KYC turut mengadakan pertandingan Cosplay bertemakan Pahlawan dan Pemimpin lagenda Sabah (Warrior Cosplay Competition), bagaimanapun buat masa ini kita masih kekurangan peserta untuk pertandingan ini.

Khas untuk kanak-kanak, sempena program itu, turut diadakan Pertandingan Mewarna Kanak-Kanak.

“Dijemput kepada ibu bapa yang mempunyai anak gemar mewarna untuk mendaftarkan anak mereka pada pagi Sabtu nanti,” katanya.

Justeru, beliau menyeru kepada semua golongan masyarakat terutamanya belia untuk hadir dan menyokong program berkenaan, di samping menyerlahkan bakat mereka menerusi pelbagai pertandingan yang dianjurkan.

Sebarang pertanyaan dan maklumat lebih lanjut boleh melayari laman sosial Facebook KDCA Youth Council atau menghubungi Steve (019-860 1717), Czer Jilan (019-873 8288), Beverley (017-414 1295), Ervi (011-5177 4179) dan Ateng (0129182206). – SABAH MEDIA

RELATED ARTICLES
Isu tempatan

Lebih 300 orang hadir program PeKa B40

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular