Kota Kinabalu : Universiti Malaysia Sabah (UMS) amat bertuah kerana memiliki alumni-alumni yang sentiasa proaktif membantu dan menyokong pelbagai aktiviti yang dijalankan pihak universiti.
Naib Canselor UMS Profesir Datuk Dr Kasim Mansor berkata, ia termasuklah pelaksanaan program yang berbentuk pembangunan fizikal, pengupayaan modal insan dan lonjakan akademik.
Katanya, para alumni UMS juga perlu terus mengekalkan hubungan rapat dengan pihak universiti yang pernah menjadi institusi mereka menimba ilmu atau lebih dikenali sebagai alma meter
“Hubungan berterusan ini penting bagi membolehkan para alumni menyumbang kembali kepada UMS dalam meningkatkan lagi kualiti imej pendidikan dan kebajikan universiti.
“Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) juga menggesa supaya para alumni ini menyumbang semula kepada universiti, jadi kami di UMS menyahut seruan kementerian agar kita mendekatkan alumni-alumni ini dan dapat bekerjasama,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada majlis UMS Alumni Homecoming Dinner 2023 di sini kelmarin.
Dr Kasim berkata, majlis itu diadakan adalah bagi menghimpun dan meraikan alumni daripada kohort 1999 hingga kini selain menjadi platform untuk berkenalan serta mengeratkan silaturahim.
“Selain itu, majlis ini juga dapat bertentang mata antara para alumni dan pentadbiran universiti seterusnya merencana ruang-ruang kerjasama dan program-program yang dapat menambah baik agenda pembangunan universiti.
“Pada hemat saya, majlis pada malam ini bukan sahaja istimewa dalam konteks reunion dan imbasan kenangan warga UMS tetapi lebih dari itu turut signifikan untuk mengekalkan perasaan ‘sense of belonging’ dengan UMS,” katanya.
Terdahulu, pada majlis itu seramai lebih 500 alumni UMS turut hadir memeriahkan majlis berkenaan. – SABAH MEDIA/ FOTO UMS