BERNAMA
Kuala Lumpur: Pembentangan Belanjawan 2024 oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi tumpuan utama pada Mesyuarat Ketiga Penggal Kedua Parlimen Ke-15 yang membuka tirai bermula hari ini hingga 30 Nov.
Menurut laman rasmi Parlimen, pembentangan Rang Undang-Undang Perbekalan 2024 oleh Anwar yang juga Menteri Kewangan akan berlangsung 4 petang pada 13 Okt.
Seperti kebiasaan, pembentangan Belanjawan 2024 boleh diikuti secara langsung menerusi siaran televisyen utama, serta platform dalam talian seperti di YouTube Parlimen Malaysia.
Anwar sebelum ini dilaporkan berkata Kementerian Kesihatan (KKM) dan Kementerian Pendidikan akan terus mendapat peruntukan terbesar dalam Belanjawan MADANI 2024.
Menurut Perdana Menteri, antara isu yang difokuskan dalam belanjawan itu bagi KKM ialah pembinaan klinik-klinik kesihatan dan mengatasi masalah kesesakan hospital kerajaan di seluruh negara.
Berdasarkan takwim Dewan Rakyat, Rang Undang-Undang Perbekalan 2024 dijadual dibahas di peringkat dasar bermula 16 hingga 26 Okt, sebelum jawapan oleh menteri-menteri selama empat hari.
Ia kemudian diteruskan dengan perbahasan rang undang-undang itu di peringkat jawatankuasa bermula 6 hingga 27 Nov, sebelum diluluskan Dewan Rakyat.
Sementara itu, antara rang undang-undang yang akan dibentangkan untuk bacaan kali kedua adalah Rang Undang-Undang Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2023 yang dijadualkan pada 10 Okt.
Menteri Kesihatan Dr Zaliha Mustafa sebelum ini memaklumkan pembentangan rang undang-undang itu adalah suatu bentuk komitmen berterusan KKM dan kerajaan Malaysia MADANI dalam memastikan kesihatan dan keselamatan rakyat dilindungi daripada bahaya produk merokok.
Rang undang-undang itu dibentangkan untuk bacaan kali pertama di Dewan Rakyat pada 12 Jun lepas, serta dirujuk ke Jawatankuasa Pilihan Khas (JKPK) Kesihatan dan penilaian dibuat oleh ahli JKPK bagi memantapkan rang undang-undang berkenaan supaya dapat dibincangkan, diteliti dan disokong kesemua pihak (bipartisan).
Selain itu, Rang Undang-Undang Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (Pindaan) 2023 turut dijangka dibentang pada persidangan kali ini.
Memetik kenyataan Timbalan Menteri Kewangan I Datuk Seri Ahmad Maslan pada Sabtu, pembentangan itu sejajar dengan keputusan Mesyuarat Jemaah Menteri pada 5 Jun lepas sebagai menghormati dan memberi lebih kuasa kepada Sabah dan Sarawak atas semangat Majlis Tindakan Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MTP-MA63).
Dalam pada itu, Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Johari Abdul meletakkan harapan agar sidang Parlimen kali ini dipenuhi dengan perbahasan dan idea berkualiti untuk pembangunan negara.
Beliau dipetik sebagai berkata adalah penting untuk Ahli Parlimen menunjukkan nilai yang baik kerana ada kajian menunjukkan golongan muda semakin berminat untuk mendengar perbahasan serta mengikuti perkembangan di Parlimen. BERNAMA