HomeUtamaPelbagai program dilaksana bagi perkasa usahawan di Sabah, Sarawak

Pelbagai program dilaksana bagi perkasa usahawan di Sabah, Sarawak

Read Time:1 Minute, 45 Second

Kuala Lumpur : Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) sentiasa komited dalam melaksanakan pelbagai progam khusus untuk memperkasa usahawan-usahawan di Sabah dan Sarawak.

Menterinya Datuk Ewon Benedick berkata, antara program itu ialah BEEP Plus Sabah dan Sarawak atau Program Peningkatan Enterpris Bumiputera di bawah Program Pengukuhan Mikro MADANI oleh SME Corp.

“Melalui program ini, geran sebanyak RM10 juta telah disediakan khusus untuk usahawan Bumiputera Sabah dan Sarawak.

“Program ini menawarkan bantuan secara Geran Padanan sehingga 70 peratus pembiayaan atau maksimum RM250,000 bagi setiap kelulusan. Sejak pelancaran program BEEP Plus pada 1 Oktober lalu, sebanyak 73 permohonan telah diterima,” katanya pada sesi pertanyaan bagi jawab lisan, persidangan Parlimen, di sini, hari ini.

Beliau menjawab pertanyaan daripada Ahli Parlimen Saratok Datuk Ali Anak Biju yang bertanya langkah-langkah terkini kementerian untuk memberdayakan usahawan terutama daripada kalangan B40 dan usahawan muda di kawasan luar bandar Sabah dan Sarawak termasuk pelaksanaan Skim Geran Usahawan Orang Asal.

Ewon berkata, SME Corp melaksanakan program Inclusive SME Ecosystem (I-SEE) bagi menyediakan bantuan geran kepada inovator perusahaan, mikro, kecil dan sederhana (PMKS) bagi memperkasa kumpulan B40 dan menggalakkan transformasi komuniti menerusi bimbingan dan penyediaan sokongan teknikal.

“Bagi tempoh 2021 sehingga Ogos 2023, sejumlah 30 inovator PMKS mendapat manfaat dengan kelulusan geran berjumlah RM4.6 juta.

“Program Tunas Usahawan Belia Bumiputera (TUBE) oleh SME Corp pula menyediakan bantuan pembangunan kapasiti berbentuk latihan, geran permulaan perniagaan dan khidmat nasihat.

“Sejak 2014, seramai 1,852 usahawan belia Sabah dan Sarawak menerima geran RM25.54 juta di bawah program TUBE,” katanya.

Ewon berkata, TEKUN Nasional juga memperuntukkan RM5 juta untuk usahawan pasar tamu melalui Skim Pembiayaan Usahawan Tamu (SPUT) bagi meningkatkan pendapatan dan taraf sosioekonomi golongan B40 di Sabah dan Sarawak.

“Sehingga 30 September lalu, 490 usahawan pasar tamu Sabah dan Sarawak menerima manfaat dengan jumlah pembiayaan RM2.25 juta.

“Bagi usahawan muda pula, TEKUN menyalurkan pembiayaan kepada 75 usahawan di Sabah dan Sarawak di bawah Skim Pembiayaan Usahawan Belia,” katanya.

Katanya lagi, di bawah Program Be Your Own Boss (BYOB), Pernas telah meluluskan pembiayaan kepada 9 usahawan belia melibatkan pembiayaan berjumlah RM3.26 juta di Sabah dan Sarawak.

RELATED ARTICLES
Utama

Pelbagai inisiatif pembangunan dilaksanakan melalui Hala Tuju SMJ

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular