HomeIsu tempatanSambutan Maulidur Rasul wadah perkukuh asas perpaduan warga Universiti

Sambutan Maulidur Rasul wadah perkukuh asas perpaduan warga Universiti

Read Time:1 Minute, 54 Second

Kota Kinabalu: Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Universiti Malaysia Sabah (UMS) yang berlangsung baru-baru ini mampu menjadi wadah terbaik dalam memperkukuh asas perpaduan warga universiti.

Naib Canselor UMS, Prof. Datuk Dr. Kasim Mansor berkata, ini kerana sambutan yang diadakan setiap tahun itu diraikan bagi memperingati kelahiran Nabi Muhammad s.a.w dan sirah kehidupan Baginda, termasuklah sejarah Piagam Madinah yang menjadi dasar bagi masyarakat Madinah pada masa pemerintahan Rasulullah.

“Sukacita saya ingin mengajak seluruh warga UMS untuk sama-sama menghayati intipati yang terkandung di dalam Piagam Madinah, iaitu suatu bentuk Perlembagaan Negara Islam Madinah yang mencerminkan prinsip-prinsip inklusif, setia bersama, dan keadilan.

“Piagam Madinah merupakan salah satu tonggak penting dalam sejarah awal Islam dan menunjukkan bagaimana masyarakat Islam dan bukan Islam dapat hidup bersama dalam sebuah kerangka yang adil dan harmoni,” katanya. 

Beliau berkata demikian dalam ucapan sempena sambutan tersebut di Pusat Islam, UMS baru-baru ini.

Kasim turut menzahirkan harapan agar program seumpama itu menjadi platform dalam mengukuhkan asas perpaduan yang telah lama dibina dalam kalangan warga UMS.

“Sesungguhnya ini mampu memangkin hubungan lebih erat sesama kita warga UMS yang cintakan perpaduan, keharmonian dan kesejahteraan selaras dengan slogan ‘Leading Towards Innovative Societies’,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Kasim turut memaklumkan UMS melalui Pusat Islam telah dilantik sebagai Ejen Pungutan dan Agihan Zakat bagi Majlis Ugama Islam Sabah dan Ejen Kutipan Zakat serta Wakalah daripada Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan.

“Menerusi pelantikan ini telah memberikan manfaat yang amat besar kepada warga UMS tidak kira golongan pelajar mahupun kakitangan melalui pemberian pelbagai bantuan.

“Antara bantuan tersebut seperti elaun sara hidup, penyelesaian yuran pengajian, bantuan Ramadan, Aidilfitri dan sebagainya,” katanya.

Terdahulu, sejumlah 29 kontinjen dari pelbagai Jabatan, Akademi, Fakulti, Pusat, Institut dan Bahagian berhimpun di Dataran Dewan Canselor sebelum berarak menuju ke Pusat Islam.

Pada tahun ini, kontinjen Jabatan Bendahari mengekalkan kemenangan yang diraih tahun lalu apabila dinobat sebagai Johan bagi pertandingan Kontinjen Terbaik, sekali gus membawa pulang hadiah wang berjumlah RM1,000.

Tempat kedua dimenangi kontinjen Jabatan Canselori, manakala kontinjen dari Pejabat Canselori meraih tempat ketiga. 

Kedua-dua kontinjen masing-masing membawa pulang hadiah kemenangan berjumlah RM700 dan RM500 yang disampaikan Kasim.

Pada majlis yang sama, Kasim turut melancarkan Tabung Solidariti Palestin sebagai medium membolehkan warga universiti memberi sumbangan kepada bantuan kemanusiaan di Palestin yang kini berhadapan dengan konflik.

RELATED ARTICLES
Isu tempatan

UMS, Yun Fook Resources laksana penyelidikan nutrisi murid sekolah di Sabah

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular