HomeUtamaKPM digesa pertimbang isu pendidikan kanak-kanak lahir di luar negara, ibu warga...

KPM digesa pertimbang isu pendidikan kanak-kanak lahir di luar negara, ibu warga Malaysia, bapa warga asing

Read Time:1 Minute, 51 Second

KOTA KINABALU: Cadangan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) untuk mengembangkan Sekolah Bimbingan Jalinan Kasih (SBJK) ke Sabah bulan depan disambut baik Ketua Penerangan Parti Bersatu Sabah Bahagian Api-Api, Yee Tsai Yiew.

Beliau berkata usaha ini bukan saja akan memastikan kanak-kanak yang terpinggir dapat menghadiri kelas pembelajaran, tetapi juga menghormati hak asasi manusia untuk mendapatkan pendidikan seperti yang telah diiktiraf secara universal di bawah Deklarasi Universal Hak Asasi Manusia pada tahun 1948.

“Cadangan ini menunjukkan komitmen kerajaan dalam memberikan jaminan bahawa kanak-kanak yang tinggal di Malaysia mendapat hak untuk memperoleh pendidikan formal tanpa sebarang rintangan,” kata Tsai Yiew.

Namun, perkara ini tidak dipraktikkan apabila membabitkan isu pendidikan kanak-kanak yang lahir di luar negara, dimana ibu adalah warganegara Malaysia dan bapa warganegara asing.

Tsai Yiew mendesak KPM untuk menangani isu ini dimana disebabkan status kelahiran mereka di luar negara, kanak-kanak ini terpaksa menghadapi proses permohonan visa yang rumit, serta kesulitan mendaftar di sekolah tempatan.

“Pada masa ini, masa pemprosesan permohonan visa mengambil masa sehingga hampir enam bulan, yang bukan saja menyukarkan ibubapa, tetapi juga menjejaskan pendidikan kanak-kanak terlibat,” katanya.

Tsai Yiew menambah bahawa birokrasi kerajaan dan prosedur yang pelbagai menyebabkan pendaftaran kanak-kanak ini di sekolah tertangguh, dan boleh dianggap sebagai pelanggaran hak asasi mereka untuk mendapatkan pendidikan.

Beliau percaya proses visa perlu dipercepatkan bagi memastikan kanak-kanak ini dapat memasuki sekolah dan menerima pendidikan yang sewajarnya.

Kerajaan persekutuan sebelum ini juga menyatakan hasratnya untuk mengemukakan pindaan kepada Perlembagaan Persekutuan mengenai hak kewarganegaraan dalam persidangan parlimen yang akan datang, iaitu untuk membenarkan kanak-kanak yang dilahirkan kepada ibu warganegara Malaysia dan bapa warganegara asing untuk secara automatik menjadi warganegara Malaysia, jika mereka memilih untuk berbuat demikian.

Oleh itu, Tsai Yiew menggesa kerajaan persekutuan untuk memberi keutamaan kepada perkara ini dan tidak menangguhkannya, kerana ia berkaitan dengan hak pendidikan kanak-kanak.

“Bagaimanapun, kerana perkara ini belum diluluskan, saya menggesa kerajaan untuk memyediakan dasar pendidikan yang inklusif untuk memastikan kanak-kanak yang dilahirkan di luar negara dapat sama-sama menikmati hak pendidikan seperti kanak-kanak Malaysia lain,” katanya.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek baru-baru ini mengumumkan bahawa SBJK akan diperluaskan ke Sabah pada bulan depan untuk membantu kanak-kanak jalanan dan kanak-kanak tanpa dokumen memperoleh pendidikan formal.

RELATED ARTICLES
Utama

Speaker DUN disaran beri ruang pelajar IPT kenali institusi Parlimen, DUN

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular