HomeUtamaPeruntukan RM200,000 laksana projek pembangunan kecil DUN Bongawan

Peruntukan RM200,000 laksana projek pembangunan kecil DUN Bongawan

Read Time:1 Minute, 23 Second

PAPAR: Kerajaan Persekutuan memperuntukkan sebanyak RM200,000 bagi melaksanakan beberapa projek pembangunan kecil di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bongawan pada tahun ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bongawan, Dr Daud Yusof, berkata ia termasuk membina jambatan gantung dan sumbangan dana kepada setiap sekolah rendah dan menengah di DUN Bongawan.

Katanya, sebanyak RM50,000 daripada peruntukan itu disalurkan kepada 22 sekolah melalui Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) masing-masing untuk melaksanakan kerja membaik pulih fasiliti dan aktiviti sekolah.

“Kerajaan Persekutuan menyalurkan peruntukan kepada setiap kawasan melalui wakil rakyat yang akan mengendalikan pengagihan dana mengikut kaedah masing-masing dan ini adalah yang pertama kali bagi DUN Bongawan.

“Untuk Bongawan, kita mengagihkan sebanyak RM50,000 kepada sekolah melalui Unit Perancang Ekonomi Negeri Sabah (UPEN) bagi meringankan aktiviti yang dijalankan oleh PIBG di 19 sekolah rendah dan tiga sekolah menengah di sini.

“Pengagihan peruntukan berkenaan disalurkan melalui PIBG berikutan ia tidak boleh diagihkan secara langsung kepada pihak sekolah dan perlu melalui persatuan sah yang berdaftar dengan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS),” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Penyerahan Sumbangan Dana Kepada Sekolah-Sekolah DUN Bongawan, di Dewan Terbuka Al Aman Sekolah Kebangsaan (SK) Pekan Bongawan, di sini, hari ini.

Sementara itu, katanya baki peruntukan berkenaan dimanfaatkan untuk melaksanakan projek-projek kecil pembangunan berkaitan penyediaan dan pembaikan fasiliti untuk keselesaan rakyat di DUN Bongawan.

“Antara yang kita laksanakan ialah membina beberapa jambatan gantung untuk keselesaan dan bagi memudahkan perhubungan penduduk kampung di kawasan ini,” katanya.

Daud yang juga bekas Pembantu Menteri Pertanian dan Perikanan negeri, turut menyatakan harapannya agar penyaluran peruntukan seumpama itu diteruskan pada masa akan datang dan ditambah jumlahnya agar lebih banyak projek pembangunan kecil dapat dilaksanakan.

RELATED ARTICLES
Utama

Empat perkara berkaitan MA63 belum memperoleh sebarang persetujuan

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular