Kota Kinabalu : Pertandingan Gambus Persatuan Masyarakat Brunei Sabah (PMBS) sempena Karnival Baurung-urung kali kedua bakal menawarkan hadiah berjumlah RM13,000.
Pengerusi Pertandingan Gambus PMBS, Haji Latip@Ahmad Osman berkata, karnival yang diadakan selama dua hari bermula Sabtu ini akan berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabansa Sabah (SICC).
“Pemenang akan menerima hadiah wang tunai bernilai RM5,000 bagi Johan; RM4,000 (Naib Johan) dan Ketiga RM3,000. Manakala tempat keempat dan kelima masing-masing menerima hadiah berjumlah RM500.
“Bagaimanapun hanya lima kumpulan gambus yang mewakili cawangan-cawangan PMBS akan mara ke peringkat akhir,” katanya ketika mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Pertandingan Gambus PMBS di sini semalam.
Latip berkata, borang penyertaan pertandingan telah diedarkan melalui pengerusi cawangan masing-masing dan perlu dikembalikan sebelum atau pada Rabu ini.
Beliau berkata, pihaknya turut menjangkakan lebih banyak kumpulan gambus dari cawangan-cawangan PMBS seluruh daerah akan mengambil bahagian tahun ini selepas ianya tidak dilaksanakan sebelum ini.
“Tahun lalu juga kita tidak mengadakannya kerana kesuntukan masa tetapi kita telah mengadakan persembahan gambus melalui penampilan istimewa artis terkenal gambus negara, Fuziah Gambus yang berasal dari Bongswan tetapi menetap di Kuala Lumpur,” katanya.
Selain itu, persembahan Gulingtangan dari beberapa cawangan PMBS akan turut diadakan meskipun pertandingan Gulintangan tidak dilaksanakan tahun ini.
Dalam pada itu, Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan Mencipta Lagu dan Logo, Pengiran Alliyuddin Carl Ahmad Tajuddin berkata, sebanyak sembilan buah lagu dan sembilan buah logo ciptaan masyarakat Brunei dari seluruh Sabah telah diterima sepanjang tempoh pertandingan dibuka lebih 3 bulan lalu.
Katanya Johan Pertandingan Mencipta Lagu akan menerima hadiah wang tunai RM2,000; tempat kedua RM1,000, ketiga RM700 dan tiga saguhati masing-masing akan menerima RM300.
Menurutnya, hadiah bagi mencipta Logo akan membawa pulang hadiah wang tunai RM 500 (Johan), kedua sebanyak RM300 dan ketiga RM 200 manakala lima saguhati setiap seorang mendapat RM50.
Hadiah akan disampaikan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi merangkap Presiden PMBS esok disalah sebuah hotel terkemuka di ibu negara.
Karnival yang dijangka akan dirasmikan Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor itu turut menyediakan pelbagai acara-acara yang menarik termasuk Pertandingan Masakan Tradisi Brunei seperti Manumpah Ambuyat, Cacah Ternyaman, pameran alat-alat tradisi Brunei dan penjualan produk-Produk masyarakat Brunei Sabah.
Pelancaran tiga buah buku termasuk Buku Resipi Masakan dan Makanan Tradisi Brunei Sabah, Biografi Tokoh PMBS 2022 akan turut dilancarkan.
Akan turut diadakan ialah Expo Halal Sabah dikendalikan oleh PMBS dengan kerjasama agensi2 kerajaan negeri. Sebanyak 100 booth disediakan untuk dikunjungi untuk acara dua hari ini.
Pada Karnival Baurung-Urung tahun lalu karnival ini dikunjungi oleh kira-kira 10,000 pengunjung dari dalam dan luar negara. – SABAH MEDIA