HomeIsu tempatanSeni silat menjadi inspirasi gerak tari - Suhaimi

Seni silat menjadi inspirasi gerak tari – Suhaimi

Read Time:2 Minute, 6 Second

Kota Kinabalu : Mempelajari dan menyelami pergerakan seni tempur mempertahankan diri dari Alam Melayu memberi inspirasi gerak tari kepada penerima Anugerah Seni Budaya Negeri (ASBN) Sabah 2023, Suhaimi Magi.

Suhaimi, 66, merupakan Pensyarah sambilan Fakulti Tari, Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA) pernah menjadi koreografer utama perasmian Sukan Komanwel 1998 di Bukit Jalil dan menggunakan hampir 5,000 penari.

“Kalau tradisional, saya kira silat akan menjadi asas kukuh untuk setiap penari memahami struktur badannya, gerak kaki, tangan, kepala, naluri dan bahasa tubuh yang ada dalam seorang pesilat.

“Menjadi seorang penari bukan hanya untuk mencari kerja, tetapi juga pencipta pekerjaan di mana penari harus membantu komunitinya, menghargai dan menghormati kerana untuk maju, tidak harus hidup sendiri dan perlu menguasai pelbagai ilmu lain,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Penutup Program Menyemarakkan Seni Budaya ‘Orang Kita Budaya Kita’ Siri 2 di sini.

Suhaimi  memulakan kerjaya sebagai Artis Budaya Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan Negeri Sabah pada 1977 hingga 1980 membawa pulang wang tunai berjumlah RM10,000 dan sijil penghargaan pada majlis yang diadakan di Kompleks Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara, baru-baru ini.

Beliau ketika ditemui menyarankan kepada individu yang berhasrat menjadi penari, perlu berguru agar mempunyai pengetahuan, kemahiran dan mempunyai kekuatan dari segi spiritual serta moral sehingga menjadi seorang yang berwibawa.  

“Punyailah ilmu yang pelbagai, berlatihlah membangunkan bakat, perjuangan seorang penari tidak hanya selesai dengan hanya tepukan tangan dan pujian usai persembahan, tetapi harus lebih ada masa depan,” kata anak kelahiran Kampung Angan-Angan, Tenom berketurunan Jawa Banjar ini.  

Beliau juga dianugerahkan Adiguru Tarian Tradisional Malaysia 2022 oleh ASWARA dan tersenarai sebagai Lagenda Tari Negara oleh Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) pada tahun yang sama.

Menurutnya lagi, kesenian tidak dapat dikerjakan sendiri, konsep kesenian harus bergotong-royong apa lagi seni pentas yang sangat memerlukan kumpulan manusia yang ramai untuk menjayakan kegiatan pentas mereka.

Berpegang slogan hidup ‘mengalir sahaja seperti air, apa adanya, syukuri dan nikmati apa sahaja, Suhaimi dinobatkan peserta terbaik Bengkel Tarian Minangkabau Indonesia Peringkat Kebangsaan di Kuala Lumpur pada 1979 selain menjadi pelajar terbaik serta contoh oleh Duta Besar Malaysia pada 1987.

Semasa menuntut di Institut Kesenian Jakarta Indonesia, beliau pernah menjadi penari di Istana Presiden Indonesia di samping mewakili negara tersebut dalam Festival Mustika di Genting Highland pada 1981 dan juga American Dance Festival  1986.

Berpengalaman luas dan sering dinobatkan sebagai pelajar terbaik, tidak hairanlah apabila beliau turut diterima menjadi jurulatih dan koreografer di pelbagai agensi antaranya Lembaga Kebudayaan Sabah,Akademi Seni Kebangsaan, Akademi Seni dan Teknologi Kreatif Universiti Malaysia Sabah dan Jabatan Seni Persembahan Petronas.

RELATED ARTICLES
Isu tempatan

UMS usaha sebar luas pengetahuan berkaitan HIV AIDS

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular