HomeUtamaBlok tambahan baharu dibina di Klinik Kesihatan Padas Damit

Blok tambahan baharu dibina di Klinik Kesihatan Padas Damit

Read Time:1 Minute, 21 Second

Kuala Lumpur : Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bercadang untuk menaik taraf Klinik Kesihatan Padas Damit dengan membina sebuah blok tambahan baharu.

Timbalan Menteri Kesihatan, Dato Lukanisman Awang Sauni berkata, ia bagi memberi rawatan kesihatan terbaik kepada penduduk sekitar kawasan berkenaan.

“Kementerian sememangnya bercadang menaik taraf Klinik Kesihatan Padas Damit sedia ada dengan membina sebuah blok tambahan baharu.

“Ini bagi menyediakan ruang rawatan yang lebih luas untuk unit pesakit luar, kesihatan ibu dan anak serta sebuah kerusi pergigian untuk penduduk di situ,” katanya.

Menjawab soalan Datuk Matbali Musah (GRS-Sipitang) di Dewan Rakyat semalam, beliau berkata projek berkenaan dijangka bermula pada pertengahan tahun depan.

Lukanisman juga berkata pada masa ini, kementerian  sedang menaik taraf sistem pendawaian elektrik termasuk penggantian  komponen elektrik di Klinik Kesihatan Padas Damit.

Katanya, kerja naik taraf berkenaan sedang berjalan dan dijangka selesai hujung tahun ini.

Mengenai soalan tambahan Matbali berkaitan klinik desa yang terpaksa dirobohkan akibat pelaksanaan projek lebuh raya Pan Borneo di Sabah, beliau berkata kementerian komited untuk membina semula kemudahan kesihatan berkenaan.

Salah satu kemudahan terbabit ialah Klinik Desa Kampung Bukau dan kementerian menggantikannya dengan membina klinik statik.

Ketika ini, katanya, operasi Klinik Desa Kampung Bukau ditempatkan sementara di Balai Raya Kampung Lumadan.

“Kementerian juga sedang kenal pasti tanah seluas lima ekar bagi membina klinik baharu dan berharap Ahli Parlimen Sipitang dapat membantu mempercepatkan perolehan tanah bagi tujuan itu.

“Ini diberi keutamaan oleh kementerian bagi menyedia perkhidmatan kesihatan lebih baik kepada rakyat di kawasan berkenaan,” katanya.

Mengenai bilangan doktor dan doktor pakar di Hospital Sipitang dan Hiospital Beaufort, beliau berkata perkara itu akan diberi jawapan bertulis, termasuk perancangan jangka panjang untuk menambah bilangannya.

RELATED ARTICLES
Utama

Orang ramai dijemput hadir ke pameran Pembentukan Malaysia Khamis depan

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular