HomeIsu tempatanESSCOM laksana operasi banteras salah guna pambot, PATI di dua daerah

ESSCOM laksana operasi banteras salah guna pambot, PATI di dua daerah

Read Time:2 Minute, 33 Second

Kota Kinabalu : Eastern Sabah Security Command (ESSCOM) berjaya merampas sebanyak 17 buah pambot dan menahan seramai lima individu dalam dua operasi berasingan yang dijalankan di Semporna dan Kunak semalam.

Operasi Gasak Laut Pambot (OGL Pambot) dan Operasi Bersepadu (OB) yang dijalankan itu adalah bagi membanteras penyalahgunaan pambot, kemasukan pendatang asing tanpa izin (PATI), penyeludupan, rompakan, pengeboman ikan dan penyalahgunaan dadah yang boleh mengancam keselamatan serta kesejahteraan masyarakat di Zon Selamat Sabah Timur (ESS Zone).

Komander Eastern Command Datuk Victor Sanjos berkata, operasi di kedua-dua daerah itu melibatkan seramai 210 pegawai dan anggota jabatan serta agensi penguatkuasaan keselamatan Persekutuan dan Negeri termasuk Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).

Katanya, melalui OGL Pambot di Semporna, seramai 17 individu dan 18 buah pambot telah diperiksa di sepanjang pesisir pantai dan perairan yang menjadi laluan pambot untuk masuk ke Pekan Semporna.

“Hasilnya, seramai tiga individu merupakan PATI dari negara Filipina telah ditahan dan diserahkan kepada Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Semporna atas kesalahan di bawah Seksyen 6(1)(c), Akta Imigresen 1959/63 untuk siasatan lanjut. 

“Selain itu, seorang pemilik pambot telah dikompaun dan sebanyak 17 buah pambot telah dirampas serta diserahkan kepada Jabatan Pelabuhan dan Dermaga Sabah (JPDS), Semporna untuk tindakan pelupusan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Victor berkata, seramai 115 individu juga diperiksa dalam OB di kawasan yang dikenal pasti menjadi lokasi persinggahan penjenayah rentas sempadan dan tumpuan PATI sekitar perkampungan air di pesisir Daerah Kunak.

Katanya,  daripada  pemeriksaan tersebut, dua individu telah ditahan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kunak di  bawah Seksyen 12 (2) (a), Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 kerana memiliki dadah jenis syabu dengan anggaran berat 0.20 gram dan ditahan untuk siasatan lanjut oleh BSJND, IPD Kunak.

“Saya amat memandang serius berhubung kesalahan-kesalahan di atas dan OGL Pambot serta OB yang menyasarkan pemeriksaan secara besar-besaran, menahan dan melupuskan pambot tanpa lesen ini dilihat berupaya melumpuhkan mobiliti kegiatan Jenayah Rentas Sempadan terutamanya aktiviti penyeludupan dan kemasukan PATI serta membasmi kawasan staging point elemen jenayah rentas sempadan.

“Selain itu, kehadiran pasukan keselamatan secara terkoordinasi juga akan mewujudkan elemen pencegahan dalam menentukan keselamatan dan kesejahteraan perairan dan pesisir pantai Kunak dan Semporna, khasnya,” katanya.

Dalam pada itu, Victor berkata, pihaknya turut menzahirkan penghargaan kepada semua yang terlibat atas kerjasama menjayakan kedua-dua operasi tersebut.

“Sehubungan itu juga, saya menasihatkan kepada semua pemilik pambot di perairan ESS Zone supaya mendapatkan lesen secara sah bagi mengelakkan tindakan penguatkuasaan oleh pihak berkuasa.

“Saya amat berharap melalui operasi-operasi seumpama ini, kawalan di kawasan maritim dan daratan ESS Zone dapat diteruskan dari semasa ke semasa supaya tidak berlaku kacau ganggu ataupun pencerobohan anasir asing serta penyusupan militan dan elemen jenayah rentas sempadan agar komuniti di ESS Zone dapat mengerjakan aktiviti harian seperti lazimnya.

“Saya juga menyeru kepada seluruh masyarakat di ESS Zone agar terus membantu ESSCOM dengan melaporkan segera sekiranya terdapat aktiviti penyalahgunaan bot pam atau sebarang insiden keselamatan ke Pusat Operasi ESSCOM di talian  089-863181 atau melalui aplikasi Whatsapp di talian 011-63311072,” katanya. SABAH MEDIA / FOTO ESSCOM

RELATED ARTICLES
Isu tempatan

Penduduk Pulau Omadal berterima kasih atas keprihatinan SESB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular