HomeUtamaSyarikat swasta, GLC digesa laksana CSR berbentuk pendidikan antirasuah

Syarikat swasta, GLC digesa laksana CSR berbentuk pendidikan antirasuah

Read Time:1 Minute, 21 Second

Tuaran: Syarikat swasta dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) di Sabah digesa untuk melaksanakan program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) berbentuk pencegahan dan pendidikan antirasuah bersama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM). 

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, di bawah Seksyen 34(6)(h) Akta Cukai Pendapatan 1967, mana-mana syarikat swasta atau GLC  yang melaksanakan program CSR berbentuk pencegahan dan pendidikan antirasuah di negara ini, boleh mendapat potongan cukai. 

“Berdasarkan peruntukan ini, syarikat-syarikat swasta layak memohon mendapatkan potongan cukai daripada pendapatan kasar perniagaan yang bersamaan dengan amaun perbelanjaan yang dibuat. 

“Justeru saya menggesa syarikat-syarikat swasta dan kerajaan di Sabah agar mengambil peluang dan insentif pelepasan cukai itu dengan menganjurkan program CSR berbentuk pencegahan dan pendidikan antirasuah bersama SPRM,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Program Kedai Jujur Peringkat Negeri Sabah 2023 di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sri Nangka di sini hari ini.

Hajiji berkata, menerusi pelaksanaan program CSR, ianya secara tidak langsung dapat memberi manfaat dalam membantu menyemarakkan budaya integriti dan benci rasuah di kalangan masyarakat negeri ini.

Katanya, Kerajaan negeri sentiasa memberikan sokongan dan kerjasama kepada SPRM dalam memerangi dan melaksanakan aktiviti pencegahan rasuah. 

“Ini termasuklah menambahbaik tadbir urus dan sentiasa memperkasakan integriti di peringkat penjawat awam hingga ke peringkat pelajar sekolah,” katanya.

Menurutnya, rakyat juga perlu memberikan sokongan dan kerjasama sepenuhnya kepada pihak SPRM, dalam membantu menyalurkan maklumat dan melaporkan sebarang perlakuan rasuah serta salah guna kuasa yang berlaku. 

“Ini penting supaya pelaku rasuah dikenakan tindakan undang-udang yang sewajarnya  agar ianya menjadi iktibar kepada masyarakat,” katanya lagi. – SABAH MEDIA

RELATED ARTICLES
Utama

Sistem air minuman secara mudah alih, berkuasa solar berjaya dibangunkan

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular