HomeUtamaSabah salur bantuan kewangan kepada sekolah, badan keagamaan bukan Islam Zon Pantai...

Sabah salur bantuan kewangan kepada sekolah, badan keagamaan bukan Islam Zon Pantai Barat Selatan

Read Time:1 Minute, 29 Second

Kota Kinabalu : Sebanyak RM21.6 juta disalurkan kepada sekolah-sekolah dan badan-badan keagamaan bukan Islam menerusi bantuan kewangan Kerajaan Negeri Sabah bagi Zon Pantai Barat Selatan.

Majlis penyerahan sumbangan itu disampaikan Menteri Kewangan Datuk Seri Masidi Manjun di Menara Kinabalu di sini semalam.

Dari jumlah tersebut, sebanyak RM7.77 juta diagihkan kepada 129 buah sekolah, RM10.92 juta kepada 531 buah gereja, RM2.63 juta kepada 51 buah tokong, dan RM270,000 kepada empat buah kuil.

Sesi penyerahan bantuan itu merupakan yang pertama untuk Zon Pantai Barat Selatan yang meliputi daerah-daerah seperti Kota Kinabalu, Penampang, dan Putatan.

Ini akan diikuti dengan lima lagi sesi yang diadakan untuk zon-zon lain termasuk Pantai Barat Utara, Pedalaman Atas, Pedalaman Bawah, Pantai Timur (Sandakan) dan Pantai Timur (Tawau).

Dalam ucapan beliau, Masidi berkata, komitmen kerajaan negeri untuk memastikan setiap sektor masyarakat Sabah mendapat manfaat yang saksama dan adil.

“Saya ingin menekankan pentingnya institusi pendidikan dalam membentuk modal insan yang berilmu demi pembangunan Sabah.

“Selain itu, badan keagamaan juga memegang peranan penting dalam memupuk nilai-nilai murni dan toleransi di kalangan masyarakat berbilang kaum di Sabah,” katanya.

Masidi juga menegaskan kepentingan dasar keadilan dan kesaksamaan kerajaan negeri dalam memberikan bantuan tanpa mengira kaum atau agama.

“Saya berharap bantuan ini dapat meringankan beban sekolah-sekolah dan badan keagamaan dalam pembangunan dan pembaikan infrastruktur mereka,” katanya.

Beliau mengumumkan bahawa permohonan bantuan kewangan untuk tahun 2024 akan dibuka mulai 2 Januari hingga 31 Mac 2024 dan menyeru sektor swasta untuk memberikan sokongan kepada inisiatif ini.

Pada tahun 2023, kerajaan negeri telah memperuntukkan RM54.05 juta, dengan RM23 juta untuk sekolah-sekolah dan RM31.5 juta untuk badan-badan keagamaan bukan Islam.

Sejumlah 1,810 kelulusan diberikan, yang terbahagi kepada 346 sekolah dan 1,464 badan keagamaan bukan Islam. – SABAH MEDIA

RELATED ARTICLES
Utama

Kerajaan Negeri sokong penuh pindaan Ordinan Buruh Sabah

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular

Recent Comments

Marianah Haji Mohd. Akil on Ibu Ebi AF5 Meninggal Dunia
Just ada kaitan with gui family on Bermula Jual Aiskrim Kini Bergelar Usahawan Berjaya