Kota Kinabalu : Kerajaan Sabah akan terus melipatgandakan usaha serta memperkasakan lagi program pembangunan sukan di negeri ini agar ianya berada dilandasan yang tepat sekali gus mencipta lebih banyak kejayaan pada masa hadapan.
Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata, Kerajaan Negeri juga turut komited dalam penganjuran program sukan di Sabah termasuk akan menyokong segala usaha ke arah melahirkan lebih ramai atlet hingga ke peringkat antarabangsa.
“Justeru itu,kerajaan memperuntukkan sebanyak RM97.5 juta bagi pembangunan belia dan sukan, penaiktarafan kemudahan sukan dan penyelidikan sains sukan, untuk tahun ini, sekali gus membuktikan komitmen kerajaan Sabah kepada kemajuan sukan dan pembangunan belia di negeri ini.
“Kita mahu melihat Sabah melahirkan lebih ramai atlet dan ahli sukan yang hebat yang akan membawa kegemilangan sukan kepada negeri dan negara. Saya berharap anugerah dan pengiktirafan yang diberikan akan menjadi pencetus semangat kepada pelapis dalam kalangan atlet muda negeri yang berpotensi untuk terus digilap bagi melakar kejayaan demi kejayaan yang boleh kita banggakan,” katanya.
Beliau berkata demikian sempena Majlis Anugerah Sukan Negeri Sabah 2021/2022 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) di sini semalam.
Teks ucapan beliau dibacakan Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Dr Joachim Gunsalam.
Majlis itu turut dihadiri Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin dan Toh Puan Norlidah RM Jasni.
Hajiji berkata, beliau turut berharap agar atlet-atlet negeri akan terus berusaha dengan gigih untuk meraih lebih banyak pingat, terutamanya pingat emas, dalam setiap penganjuran sukan yang disertai pada masa hadapan.
Dalam pada itu, beliau berkata kerajaan negeri juga bersetuju menaikkan jumlah hadiah kemenangan untuk semua kategori yang dipertandingkan dalam Anugerah Sukan Negeri Sabah 2021/2022 kali ke-30 ini.
“Diharapkan dengan kenaikan jumlah insentif dan hadiah kemenangan ini mampu menyuntik semangat atlet dan penggiat sukan untuk terus berjuang mencipta kejayaan dan kecemerlangan pada masa-masa akan datang.
“Seperti yang kita semua tahu, pandemik COVID-19 yang melanda seluruh dunia termasuk negara ini, telah menjadi titik hitam dan menjejaskan banyak sektor termasuklah aktiviti kesukanan. Pandemik itu telah mengakibatkan pembatalan beberapa penganjuran acara sukan peringkat kebangsaan seperti Sukan Malaysia, Johor 2020 dan penganjuran bertaraf dunia seperti Olimpik Tokyo 2020.
“Penganjuran Anugerah Sukan Negeri Sabah bagi tahun 2019-2020 turut terkesan sehingga penganjurannya terpaksa dibatalkan dan tidak dapat diteruskan. Namun ini tidak mematahkan semangat juang atlet-atlet, jurulatih dan seluruh penggiat sukan tanah air untuk terus mencapai kejayaan dalam sukan,” katanya.
Sementara itu, Hajiji berkata, kerajaan negeri turut menekankan pembangunan sukan orang kurang upaya (OKU) atau atlet para di negeri ini, yang turut mencipta kejayaan hingga ke peringkat antarabangsa.
“Apa yang lebih menggembirakan sukan ini telah membuahkan hasil apabila Sukan PARA berjaya mencapai lebih 40 pingat emas dan muncul sebagai juara di Para SUKMA di Kuala Lumpur pada tahun 2021.
“Pencapaian cemerlang atlet para tidak terhenti di situ sahaja, malah berjaya menempatkan tiga atlet para negeri ini beraksi di Sukan Olimpik Tokyo 2020 yang dianjurkan pada tahun 2021.
“Saya berharap semoga atlet Sukan Para akan terus mencipta kejayaan dari semasa ke semasa baik di peringkat kebangsaan mahu pun antarabangsa. Syabas kepada semua atlet Sukan Para,” katanya.
Dalam masa sama, beliau mahu atlet negeri ini juga bukan saja berjaya dalam sukan malah turut cemerlang dalam akademik mereka. – SABAH MEDIA