HomeIsu tempatanHimpunan Kemanusiaan Untukmu Palestin berjaya kukuhkan keharmonian, keamanan negara

Himpunan Kemanusiaan Untukmu Palestin berjaya kukuhkan keharmonian, keamanan negara

Read Time:2 Minute, 0 Second

Kota Kinabalu : Penganjuran Himpunan Kemanusiaan Untukmu Palestin yang menghimpunkan lebih 10,000 umat Islam sekitar ibu negeri berjaya meningkatkan kesedaran masyarakat untuk terus mengukuhkan perpaduan, keharmonian dan keamanaan negara.

Himpunan yang dianjurkan Pertubuhan Islam Seluruh Sabah (USIA) bersama gabungan 12 badan bukan Kerajaan (NGO) itu turut mendapat sokongan daripada jabatan serta agensi negeri dan Persekutuan.

Hadir sama pada himpunan itu, Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor; Timbalan Ketua Menteri Datuk Ir Shahelmey Yahya; Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif dan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah Datuk Seri Kadzim M Yahya.

Yang Dipertua USIA Datuk Sapawi Ahmad berkata, menerusi himpunan itu, pihaknya mahu menimbulkan kesedaran secara menyeluruh meskipun ringkas sebagai satu tanda rakyat negeri ini turut memberi sokongan penuh kepada penentangan kekejaman Israel.

“Ini kita gambarkan supaya jangan berlaku di negara kita sebab ia boleh berlaku pada bila-bila masa jika ada keseimbangan dari segi kepimpinan dan pemikiran yang ekstrem.

“Toleransi, perpaduan dan permuafakatan itu adalah tanggungjawab kita bersama dan harus dipertahankan dalam konteks hubungan kemanusiaan, kemasyarakatan untuk memudahkan pihak pemerintah mengatur kerangka pembangunan negara, membangunkan ekonomi, pendidikan, kesihatan yang dapat mensejahterakan rakyat,”katanya.

Yang Dipertua USIA Datuk Sapawi Ahmad

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri himpunan itu di Wisma Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS) di sini baru-baru ini.

Sapawi berkata, program ini adalah rentetan daripada program Kebangsaan yang berkaitan langsung dengan isu yang masih hangat melanda rakyat Palestin.

“Ini juga sekaligus menjadi kecaman menyeluruh kerana kita mahu memfokuskan program ini sebagai program kemanusiaan,” katanya.

Sementara itu, Pensyarah di Akademi Profesional Nour El Amaal Terengganu Ahmad Ibni Sami Al Qudsi merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada semua rakyat di negeri ini atas sumbangan dan keprihatinan kepada rakyat Palestin.

Pada himpunan itu, sebanyak RM355,243 termasuk sumbangan RM300,000 daripada Kerajaan Negeri disumbangkan melalui sumbangan Tabung Kemanusiaan Aman Palestin.

Ahmad Ibni Sami Al Qudsi bersama anaknya

Beliau yang juga warga Palestin mengajar Al-Quran dan Ulum Diniah di negara ini sejak 10 tahun lalu agak fasih berbahasa Melayu memaklumkan, sumbangan yang diterima bukanlah yang pertama dari rakyat Sabah dan mengesahkan sumbangan dari rakyat Malaysia telah diterima oleh kerajaan Palestin. 

Pada Rabu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan tindakan pengeboman terhadap hospital di Utara Gaza itu adalah kejam serta tidak berperikemanusiaan dan Kerajaan Malaysia mengutuk sekeras-kerasnya perbuatan tersebut dan menggesa agar serangan dihentikan serta-merta.

RELATED ARTICLES
Isu tempatan

100 warga emas diraikan sempena Hari Natal

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular