HomeUtamaKerajaan pertimbangkan tanah negeri untuk Shareda bina rumah mampu milik

Kerajaan pertimbangkan tanah negeri untuk Shareda bina rumah mampu milik

Read Time:2 Minute, 4 Second

KOTA KINABALU: Kerajaan negeri akan mempertimbangkan untuk memperuntukkan tanah negeri kepada Persatuan Pemaju Perumahan dan Hartanah Sabah (Shareda) untuk membina rumah mampu milik bagi kategori B40 dan M40 di Sabah.

Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor menggesa Shareda bekerjasama dengan kerajaan negeri bagi menyediakan rumah mampu milik untuk rakyat.

“Di pihak kami, kami sedia mempertimbangkan untuk memperuntukkan tanah kerajaan di Sepanggar dekat sini untuk dibangunkan oleh Shareda dengan syarat harga rumah-rumah ini diturunkan supaya berada dalam jangkauan kumpulan B40 dan M40 yang akan mendapat manfaat paling besar daripada pembangunan ini.

“Ini juga komitmen kerajaan negeri untuk memajukan industri hartanah,”
katanya pada Majlis Shareda Nite di sini hari ini.

Teks ucapan Metua Menteri disampaikan oleh Timbalan Ketua Menteri II/Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Dr Joachim Gunsalam.

Menurutnya, penyediaan rumah kepada mereka yang berpendapatan rendah adalah keutamaan kerajaan negeri pada masa ini, sejajar dengan RM125.6 juta Rumah Mesra SMJ di semua 73 DUN di Sabah.

Ketua Menteri juga gembira memaklumkan bahawa Shareda telah proaktif dalam membangkitkan isu berkaitan industri, antaranya mengenai perimeter dan pelarasan untuk MM2H Sabah, cadangan untuk pegangan pajakan selama 99 tahun diperbaharui pada bila-bila masa dalam tempoh perkhidmatan dan; pelaksanaan i-Miliki, satu lagi langkah bantuan kemampuan yang serupa dengan Kempen Pemilikan Rumah (HOC).

Mengenai Sabah Malaysia Rumah Keduaku (SMM2H), beliau berkata enakmen berkaitan dalam SMM2H yang disemak itu akan dibentangkan di Dewan Undangan Negeri tidak lama lagi.

“Saya ulangi bahawa apabila SMM2H bermula, kami menjangkakan kemasukan bakat, kepakaran dan pelaburan, yang akan memanfaatkan Sabah. Program SMM2H, dengan input daripada pelbagai pihak berkepentingan termasuk Shareda, telah diperhalusi untuk menjadikan Sabah lebih menarik kepada warga asing yang ingin berpindah dan tinggal di negeri ini,” katanya.

Hajiji juga pada dasarnya bersetuju membenarkan pembeli lot bumiputera mencairkan hartanah mereka tanpa berlengah-lengah dan membolehkan mereka mendapat manfaat daripada penjualan hartanah kepada pembeli tempatan dan asing.

Beliau berkata beliau telah membincangkan perkara itu dengan Presiden Shareda Datuk Chua Soon Ping untuk membuka kunci mekanisme pelepasan lot Bumiputera dari lima hingga sifar tahun untuk semua pembangunan baharu di Sabah.

“Saya sudah maklumkan kepada Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan untuk meneliti perkara ini dan mengambil tindakan sewajarnya. Pemilik bumiputera akan terus menikmati diskaun istimewa lima peratus untuk lot Bumiputera,” katanya.

Hajiji berkata, kerajaan negeri komited untuk menyokong teknologi Bangunan Hijau bagi menggalakkan lebih ramai pemaju di Sabah membina projek yang mematuhi inisiatif hijau.

“Di sinilah keseluruhan industri bergerak ke arah global, dan kerajaan negeri mahu memastikan ini juga diterima pakai di dalam negara,” katanya.

RELATED ARTICLES
Utama

Sambutan Hari Malaysia disifatkan bawa makna besar

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular