KUALA LUMPUR: Malaysia komited untuk menjadikan negara ini menduduki tangga ketiga teratas di Asia Tenggara dalam membangunkan dan memajukan teknologi angkasa, demikian menurut Ketua Pengarah Agensi Angkasa Malaysia (MYSA), Azlikamil bin Napiah.
Sehubungan itu, satu garis panduan kajian kebolehlaksanaan pembangunan kemudahan pelancar di Malaysia telah diluluskan pada 2 November 2023 di dalam Jawatankuasa Angkasa Kebangsaan (JANGKA) Bil 2/2023 di Agensi Angkasa Malaysia (MYSA).
“Beberapa industri dari pihak dalam dan luar negara telah menunjukkan minat untuk menawarkan khidmat dan melabur dalam projek membangunkan kemudahan pelancar di Malaysia”.
“Justeru, penting adanya kajian menyeluruh dilaksanakan sebelum memulakan sebarang aktiviti berkaitan pembangunan kemudahan pelancar,” katanya ketika ditemubual Sabah Media , baru-baru ini.
Februari lalu, media melaporkan Sabah bakal menjadi lokasi ke-16 di dunia yang memiliki kemudahan pelancar ke angkasa lepas.
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah, Datuk Mohd Arifin Arif berkata, inisiatif itu bergantung kepada hasil kajian kebolehlaksanaan feasibility study yang akan dilaksanakan tidak lama lagi. Langkah selanjutnya akan dilaksanakan sekiranya dapatan hasil kajian adalah positif.
Tambah Datuk Mohd Arifin Arif, jika menjadi kenyataan, ia juga akan meletakkan Malaysia sebagai negara ke-9 mempunyai kemudahan pelancar angkasa lepas.
Menjelaskan lebih lanjut, Azlikamil berkata garis panduan terhadap kajian kebolehlaksanaan itu antaranya memberi tumpuan kepada kesesuaian geografi sesuatu kawasan.
“Garis panduan ini adalah sebagai asas kepada Kajian kebolehlaksanaan yang hendak dilaksanakan oleh pihak yang berminat, dan ia menumpukan 8 elemen asas penting yang perlu dikaji bagi menilai atau mempertimbangkan kesesuaian sesuatu kawasan yang hendak dipilih.
“Selain Malaysia beberapa buah negara di Asia Tenggara juga memiliki berpotensi untuk membangunkan perkhidmatan pelancar ini seperti, Filipina, Thailand dan Indonesia. İni adalah kerana negara-negara ini terletak berhampiran dengan garisan Khatulistiwa yang menjadi tumpuan untuk membangunkan perkhidmatan tapak pelancar roket yang kos efektif,” ujarnya.