PLKN 3.0 hanya libatkan remaja lahir tahun 2007

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 13 Second

Kota Kinabalu : Penetapan had umur pelatih yang akan menjalani Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) 3.0 hanya melibatkan remaja yang lahir pada tahun 2007.

Kementerian Pertahanan (MINDEF) dalam satu kenyataan berkata, pelatih program akan dipilih mengikut tahun kelahiran  dan ada garis permulaan bagi pelatih memulakan PLKN 3.0 sekiranya ianya dilaksanakan tahun hadapan.

“Sekiranya pelatih yang dipilih tidak dapat menyertai latihan khidmat negara atas sebab yang dibenarkan, mereka boleh memohon penangguhan. Had maksimum untuk menjadi pelatih adalah sehingga umur 35 tahun.

“MINDEF berharap agar penjelasan ini dapat menyelesaikan kekeliruan dan kegusaran orang awam mengenai penetapan umur pelatih PLKN 3.0,” menurut kenyataan itu di sini hari ini.

Terdahulu, MINDEF memaklumkan dalam kenyataan itu bahawa Kerajaan bersetuju untuk memperkenalkan semula PLKN dengan kaedah baharu selaras dengan Akta Latihan Khidmat Negara 2003 (Akta 628).

Sejak semalam, tular di media sosial apabila ada pihak membuat ciapan dengan mendakwa peserta yang akan dipilih menyertai PLKN untuk fasa baharu adalah individu dalam kalangan belia berusia 16 hingga 35 tahun.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamad Hasan, dilaporkan berkata, Fasa 1 membabitkan pelajar Tingkatan Empat melalui silibus Kementerian Pendidikan (KPM) yang mengandungi silibus kokurikulum seperti kadet polis, bomba dan pengakap akan diperkasakan pada peringkat itu.

Mohamad dilaporkan berkata, pelajar Tingkatan Lima yang dikecualikan untuk menjalankan latihan di Fasa 1 bagi memberi laluan kepada mereka melakukan persediaan menempuhi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pula, akan menyertai Fasa 2 di kem latihan tentera wataniah sedia ada. – SABAH MEDIA / FOTO BERNAMA

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *