HomeIsu tempatanMaritim Malaysia sita 312 botol minuman keras bernilai lebih RM50,000

Maritim Malaysia sita 312 botol minuman keras bernilai lebih RM50,000

Read Time:1 Minute, 32 Second

Tawau : Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) berjaya menggagalkan cubaan membawa 312 botol minuman keras tanpa sebarang permit kastam, di sini Sabtu lalu.

Pengarah Zon Maritim Tawau, Kepten Maritim Shahrizan Raman berkata, dalam operasi yang dilaksanakan pihaknya berjaya mengesan sebuah bot kargo yang bergerak dalam keadaan mencurigakan di kedudukan O.1 batu nautika timur laut Jeti Wallace Bay, Pulau Sebatik.

“Setelah berjaya menahan bot berkenaan, anggota geledah dari Kapal Peronda Maritim Malaysia telah melakukan pemeriksaan dan mendapati seorang juragan lelaki tempatan berusia 35 tahun bersama seorang pembantu lelaki juga warga tempatan berumur 32 tahun berada di dalam bot tersebut.

“Pemeriksaan lanjut ke atas bot berkenaan telah menemukan 26 kotak minuman keras pelbagai label dengan jumlah 312 botol disembunyikan di dalam guni dan disorokkan di bawah barangan runcit,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Shahrizan berkata, pemeriksaan dokumentasi juga mendapati kesemua minuman keras yang dibawa tidak disenaraikan di dalam senarai barangan dibawa.

Katanya lagi, juragan bersama pembantu serta muatan dan bot kargo terbabit ditahan dan diserahkan kepada pegawai penyiasat Zon Maritim Tawau untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 135 (1) (a) Akta Kastam 1967.

“Nilai rampasan keseluruhan termasuk bot beserta enjin dianggarkan bernilai lebih RM50,000.

“Pihak Zon Maritim Tawau percaya modus operandi yang digunakan bagi mengelirukan pihak berkuasa adalah dengan menyembunyikan barangan larangan import di dalam muatan yang dibenarkan bagi mengelakkan dikesan.

“Proses penghantaran juga hanya dilakukan pada kuantiti yang sederhana supaya tidak dikesan oleh pihak berkuasa,” katanya.

Beliau berkata, Maritim Malaysia sentiasa memandang serius terhadap segala aktiviti jenayah rentas sempadan.

“Oleh yang demikian Maritim Malaysia akan sentiasa mempertingkatkan keberadaan aset di lokasi-lokasi titik panas bagi membanteras kegiatan yang menyalahi undang-undang maritim.

“Sebarang maklumat berkaitan jenayah di laut atau Carilamat boleh disalurkan terus ke Pusat Operasi Zon Maritim Tawau di talian 089-750116 atau MERS 999,” katanya. – SABAH MEDIA / FOTO MARITIM MALAYSIA

RELATED ARTICLES
Isu tempatan

Aura Ustaz Abdul Somad tarik perhatian 10,000 umat Islam

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular