KOTA KINABALU: Negeri Sabah dipilih menjadi tuan rumah Persidangan Persekutuan Pertubuhan Kejuruteraan ASEAN (CAFEO42) ke-42 yang akan berlangsung selama tiga hari bermula 22 hingga 24 Oktober 2024.
Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Datuk Christina Liew berterima kasih kepada pihak Institusi Jurutera Malaysia (IEM) Cawangan Sabah kerana dipilih dalam menganjurkan persidangan itu di Sabah.
Katanya, ia merupakan persidangan tahunan berprestij yang menghimpunkan jurutera, profesional dan pakar dari 10 negara ASEAN yang mengambil bahagian untuk bertukar-tukar pengetahuan, pengalaman dan amalan terbaik dalam bidang kejuruteraan. Antaranya dari negara Brunei, Kemboja, Indonesia, Lao PDR, Malaysia, Myanmar, Filipina, Singapura, Thailand dan Vietnam.
Justeru, Christina memberi jaminan kepada penganjur sokongan daripada kementeriannya untuk segmen pelancongan CAFEO42.
Beliau berkata demikian semasa kunjungan hormat delegasi IEM Cawangan Sabah yang diketuai oleh Pengerusinya Ir. Willy Chin Tet Fu, baru-baru ini.
Ahli lain yang turut hadir ialah Naib Pengerusi Ir. Tan Kok Jyh, Setiausaha Kehormat Ir. Paul Yap, Bendahari Kehormat Ir. Dr Michael Tay, dan Ahli Jawatankuasa Ir. Jess Vun, Ir. Arius Yu dan Ir. Jamilah Tukang.
“Kami percaya peserta akan ditemani pasangan dan ahli keluarga yang akan mengambil peluang menerokai Sabah sebagai aktiviti pra atau pasca persidangan.
“Kami akan mempertimbangkan permintaan IEM Cawangan Sabah untuk pengisian media pelancongan dan pertunjukan kebudayaan oleh kumpulan tarian Lembaga Kebudayaan Sabah,” kata Christina.
Mengenai pra-persidangan ekspedisi Gunung Kinabalu seperti yang dirancang, Christina menasihatkan Jawatankuasa Penganjur Acara untuk membuat tempahan awal.
Sementara itu, Chin yang juga Pengerusi Penganjur CAFEO42 berkata, ahli jawatankuasa daripada 10 organisasi kejuruteraan ASEAN akan secara kolektif mengibarkan bendera negara masing-masing di puncak Gunung Kinabalu.
Semasa memberi taklimat kepada Christina mengenai persidangan itu, beliau berkata, CAFEO42 dikategorikan sebagai acara mesyuarat, insentif, persidangan dan pameran (MICE) dan ini akan meletakkan Sabah dalam perhatian antarabangsa yang menyediakan platform untuk mempamerkan pencapaian kejuruteraannya serta inisiatif alam sekitar kepada peserta dari negara-negara ASEAN.
“Persidangan itu akan memberi impak positif kepada Sabah, termasuk peningkatan pelancongan, penjanaan hasil, tempahan hotel dan peluang untuk perniagaan dan penyedia perkhidmatan tempatan,” katanya.
Menurut Chin lagi, lazimnya CAFEO menarik kehadiran yang mengagumkan kira-kira 1,200 hingga 1,500 peserta, dan jumlah ini ditambah lagi dengan menemani pasangan dan ahli keluarga, ini dianggarkan kira-kira 3,000 kehadiran.
“Selain persidangan, peserta dan keluarga mereka boleh menerokai kawasan tumpuan pelancongan Sabah melalui aktiviti rekreasi, seperti ke pulau dan menyelam, selain daripada lawatan melihat hidupan liar dan lawatan kebudayaan.
“Penganjuran acara itu bukan sahaja akan meningkatkan pertumbuhan ekonomi tempatan tetapi juga meningkatkan pengiktirafan Sabah sebagai destinasi pelancongan terkemuka di seluruh dunia.
“Jika berjaya, CAFEO42 pasti akan mempromosikan Sabah sebagai destinasi menarik untuk persidangan dan acara antarabangsa pada masa hadapan, sekali gus menyumbang kepada pertumbuhan sektor pelancongan kita,” tambah Chin.