HomeIsu tempatanPusat Luar UMS adakan CSR di Kampung Sayap, Kota Belud

Pusat Luar UMS adakan CSR di Kampung Sayap, Kota Belud

Read Time:1 Minute, 47 Second

Kota Kinabalu : Seramai 23 kakitangan Pusat Luar Universiti Malaysia Sabah (PLUMS) menjayakan program khidmat masyarakat (CSR) di Kampung Sayap, Kota Belud, baru-baru ini. 

CSR tersebut membawa sumbangan bakul makanan yang diagihkan kepada 60 penerima bersasar yang terdiri daripada ahli keluarga orang kurang upaya (OKU), ibu tunggal dan warga emas. 

Pengarah PLUMS, Dr. Lim Thien Sang berkata, program tersebut antara lain bertujuan bagi mengenali dengan lebih dekat komuniti suku kaum Dusun Tindal yang berada di perkampungan tersebut. 

Katanya melalui CSR itu juga, PLUMS dapat membantu memperkenalkan aktiviti kebudayaan yang ditonjolkan oleh suku kaum Dusun Tindal seperti menganyam gelang manik, tampi padi dan tarian tradisional yang dikenali sebagai Tarian Siri-Siri. 

“Kami berbesar hati kerana kedatangan kami disambut mesra oleh penduduk dan mereka sudi menyantuni kami dengan berkongsi hasil bumi dan buah-buahan tempatan yang terdapat di sini. 

“PLUMS berharap agar Kampung Sayap ini akan menjadi salah satu pusat pelancongan yang penting di Sabah dengan keindahan semula jadi yang dapat membantu membangunkan sosioekonomi penduduk,” katanya. 

Sementara itu, Ketua Program CSR PLUMS, Wong Ken Hong berkata penganjuran tersebut telah memupuk sikap peka dan ambil berat dalam kalangan warga PLUMS terhadap isu-isu masyarakat. 

“Kami menjalankan program CSR ini serentak bersama Program Pengukuhan Kerja Berpasukan (team-building) bagi mewujudkan jalinan kerjasama secara berpasukan dan bagi meningkatkan darjah kegembiraan kakitangan. 

“Selain itu juga, melalui penganjuran kali ini, ia dapat mengeratkan hubungan antara semua kakitangan PLUMS agar komunikasi dua hala dapat diterapkan dengan lebih berkesan,” jelasnya. 

Bagi seorang penduduk Kampung Sayap, Sandra, beliau menghargai sumbangan dan bantuan daripada kakitangan PLUMS bagi meningkatkan sektor pelancongan di kampung itu.

“Terima kasih kepada PLUMS kerana sudi datang dan menyalurkan bantuan tenaga, meluangkan masa dalam keadaan hujan dan panas bagi membaik pulih dan membina sulap di kampung ini.

”Mewakili penduduk kampung, sekali lagi saya mengucapkan terima kasih kepada PLUMS bagi bantuan bakul makanan kepada golongan yang memerlukan,” katanya. 

PLUMS merupakan salah satu jabatan di UMS yang bertanggungjawab melaksanakan program-program baharu seperti Prasiswazah dan Pascasiswazah hujung minggu, Saluran Terbuka UMS (SATUMS), Pembelajaran Pengakreditan Berasaskan Pengalaman Terdahulu (APEL), Muet on Demand (MOD) serta Diploma Kejururawatan.

RELATED ARTICLES
Isu tempatan

UMS perkukuh kerjasama serantau bersama UNISMUH Makassar

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular