HomeUtamaSabah hasrat kekalkan 64 peratus keluasan negeri sebagai litupan hutan

Sabah hasrat kekalkan 64 peratus keluasan negeri sebagai litupan hutan

Read Time:1 Minute, 54 Second

Kota Kinabalu : Sabah berhasrat untuk mengekalkan sebanyak 64 peratus daripada keluasan negeri ini sebagai litupan hutan yang sejajar dengan Dasar Hutan Sabah 2018.

Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri Sabah Datuk Abidin Madingkir berkata, ia meliputi kawasan seluas 3.84 juta hektar atau 52 peratus keluasan negeri ini sebagai kawasan yang diwartakan sebagai kawasan hutan simpan dan perlindungan lain.

“Komitmen ini adalah selaras dengan Pelan Pembangunan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) Kerajaan Negeri Sabah untuk memperluaskan lagi Kawasan Lindungan Penuh (Totally Protected Area) kepada 30 peratus daripada kawasan daratan negeri Sabah menjelang tahun 2025.

“Setakat ini, sekurang-kurangnya 1.9 juta hektar atau 26 peratus Kawasan Lindungan Penuh telah diwartakan, manakala bakinya lebih kurang 300,000 hektar akan dikenal pasti dan diwartakan dalam masa tiga tahun ini.

“Komitmen dan pencapaian ini meletakkan Sabah sebagai negeri peneraju di dalam bidang konservasi hutan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Forum Pihak Berkepentingan Lanskap Hutan Hujan DaMaI (DRL) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) di sini hari ini.

Forum anjuran bersama Kumpulan Yayasan Sabah, Sabah Environmental Trust, Jabatan Perhutanan Sabah dan Jabatan Hidupan Liar Sabah itu merupakan salah satu inisiatif yang dimeterai di bawah Memorandum Persefahaman (MoU) yang ditandatangani pada 23 Ogos 2022 lalu.

Abidin berkata, pihaknya turut menegaskan bahawa pemuliharaan tidak boleh dicapai dengan usaha yang berasingan dan ia memerlukan tindakan bersama dan kepakaran secara kolektif pelbagai pihak berkepentingan.

Katanya, ia turut melibatkan perkongsian antara agensi kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan, institusi pendidikan, komuniti tempatan, dan individu.

“Sejak MoU itu dilaksanakan, sejumlah 644 rondaan telah dijalankan, merangkumi kawasan seluas 252,299 kilometer persegi, dan 61 tangkapan telah berjaya dibuat di kawasan DaMaI bagi membanteras jenayah hutan seperti pemburuan dan pembalakan haram.

“Kumpulan Yayasan Sabah bersama Sabah Environmental Trust, Jabatan Perhutanan Sabah dan Jabatan Hidupan Liar ini merupakan bukti keunggulan pendekatan berpasukan, bekerja bersama untuk melindungi dan melestarikan warisan alam semula jadi di Sabah,” katanya.

Beliau berkata, inisiatif kolaboratif antara Kumpulan Yayasan Sabah, Jabatan Perhutanan Sabah, Jabatan Hidupan Liar dan Sabah Environmental Trust ini bakal mencetuskan impak yang signifikan, membawa kepada kesan berkekalan dalam pemeliharaan dan pemuliharaan alam sekitar negeri Sabah.

Forum tersebut dihadiri oleh 200 orang peserta dari pelbagai agensi kerajaan dan swasta, Badan-badan bukan kerajaan, ahli akademik, penyelidik, dan wakil-wakil dari komuniti tempatan.  – SABAH MEDIA

RELATED ARTICLES
Utama

Program Madani Rakyat 2024 Sayangi Sabah bermula hari ini

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular