PUTATAN: Majlis Apresiasi HEM Jabatan Pendidikan Negeri Sabah Tahun 2022 / 2023 anjuran Jabatan Pendidikan Negeri Sabah (JPNS) telah diadakan di Dewan Refflesia, Hotel Pan Borneo di sini hari ini.
Majlis ini diadakan bagi memberi penghargaan dan mengiktiraf perkhidmatan serta pengurusan Hal Ehwal Murid (HEM) di Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) dan model terbaik dalam pembentukan kemenjadian murid.
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif berkata, kerajaan negeri sentiasa memberikan sokongan sepenuhnya kepada program-program yang boleh membantu membentuk kemenjadian murid demi melahirkan generasi yang berketrampilan dengan ilmu agama dan bersahsiah unggul.
“Syabas dan tahniah juga saya ucapkan kepada para penerima anugerah dan tokoh Apresiasi HEM Tahun 2022 / 2023 yang menerima pengiktirafan hari ini.
“Majlis Apresiasi HEM pagi ini diadakan adalah sebagai manifestasi penghargaan dan pengiktirafan kepada murid-murid dan guru-guru yang telah berjaya mencapai kecemerlangan dalam pengurusan HEM pada tahun 2022 serta dapat menyuntik semangat kepada seluruh warga pendidikan supaya berlumba-lumba membudayakan kecemerlangan yang berterusan,” katanya ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Majlis Apresiasi tersebut.
Mohd Arifin yang juga Exco Pendidikan Sabah turut menyeru seluruh warga pendidikan agar terus dapat meningkatkan kecemerlangan dalam apa jua program dan aktiviti yang dilaksanakan bagi memastikan kecemerlangan yang berterusan.
“Situasi inilah sebenarnya yang dihasratkan oleh kerajaan dalam melahirkan modal insan yang seimbang dan harmonis dan saya berharap agar budaya pencapaian cemerlang ini dapat terus diterapkan dalam minda, jiwa dan sanubari setiap warga pendidikan yang kemudiannya diterjemahkan pula kepada tindakan.
“Untuk mencapai hasrat ini, saya berharap seluruh warga pendidikan meneruskan usaha untuk meningkatkan lagi mutu perkhidmatan pengurusan HEM,” ujarnya.
Sementara itu, Pengarah Pendidikan Negeri Sabah, Datuk Raisin Saidin dalam ucapannya berkata, Majlis Apresiasi ini merupakan julung kalinya diadakan dan akan diteruskan pada tahun berikutnya mengikut keperluan dan kesesuaian semasa.
“Selain memberikan penghargaan dan pengiktirafan dalam perkhidmatan, matlamat lain majlis ini ialah mampu membangkitkan semangat, usaha, motivasi dan memberi inspirasi dalam meningkatkan pelaksanaan HEM agar lebih menarik, proaktif, kreatif dan berkesan,” katanya.
Teks ucapan Raisin disampaikan oleh Timbalan Pengarah Pendidikan Sabah, Abidin Marjan.
Beliau berkata, pengurusan yang cemerlang sangat berkorelasi serta selari dengan kemenjadian murid.
“Justeru, semua pihak sama ada di peringkat JPN, PPD atau sekolah perlu mempunyai pengurusan HEM yang baik dan ini mampu membangunkan potensi dan karakter murid dengan lebih efektif yang membawa kepada kecemerlangan pencapaian akademik, pembentukan sahsiah serta dapat menyerahkan bakat dalam bidang sukan, seni dan aktiviti kokurikulum yang lain,” katanya.