HomeUtama10 belia Sabah terima geran usahawan muda TUBE

10 belia Sabah terima geran usahawan muda TUBE

Read Time:1 Minute, 47 Second

Kota Kinabalu : Seramai 10 belia yang menjalankan pelbagai perniagaan di negeri ini menerima geran bantuan Tunas Usahwan Belia Bumiputera (TUBE) 9.0 sejumlah RM300,000 daripada SME Corp. Malaysia, agensi di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP).

Penyampaian geran itu disempurnakan oleh Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick semasa Program Sesi Temu Mesra (Meet & Greet) bersama Alumni TUBE 2023 Sabah di Hotel Shangri-La Tanjung Aru, di sini, kelmarin.

Ketika berucap pada majlis itu Ewon berkata, pelbagai agensi di bawah kementeriannya menyediakan skim-skim pembiayaan khusus untuk pembangunan keusahawanan belia, antaranya Program TUBE dan Skim Pembiayaan Mobilepreneur yang dilaksanakan oleh TEKUN Nasional.

“Dalam Belanjawan 2024, Program TUBE diberikan peruntukan sebanyak RM20 juta. Program ini adalah inisiatif kerajaan bagi menggalakkan lebih ramai belia menceburi bidang perniagaan.

“Sasaran program ini adalah belia bumiputera berumur antara 18 hingga 30 tahun dan mempunyai minat dalam keusahawanan, khususnya mereka yang mempunyai sijil kemahiran asas daripada institusi latihan atau pusat kemahiran tempatan.

“Program TUBE secara langsung menyokong dasar pembangunan belia negara yang mana keusahawanan merupakan antara bidang tumpuan utama untuk belia maju ke hadapan,” katanya.

Ewon berharap, melalui program ini dapat menggalakkan lebih ramai belia menceburi bidang  keusahawanan, memiliki perniagaan sendiri seterusnya mencipta peluang pekerjaan.

“Penyaluran geran kepada peserta TUBE Sabah adalah yang tertinggi setiap kali program ini diadakan dan ini menunjukkan minat yang tinggi belia Bumiputera Sabah dalam bidang keusahawanan.

“Sehingga kini seramai 7,738 peserta TUBE telah dilatih dan daripada jumlah itu, 1,157 (16.4%) berjaya mendaftarkan perniagaan dan sebanyak 2,039 peluang pekerjaan telah diwujudkan. Peserta TUBE Sabah juga berjaya menjana nilai jualan terkumpul sebanyak RM20.6 juta,” katanya.

Beliau berkata, selain Program TUBE, TEKUN Nasional juga mempunyai skim khusus untuk belia iaitu Skim TEKUN Belia Mobileprenuer dan dalam Belanjawan 2024, diperuntukkan RM10 juta bagi membiayai modal bagi merka yang terlibat dalam perkhidmatan penghantaran menggunakan motosikal dan platform digital.

“Peruntukan RM720 juta juga dikhaskan untuk menggalakkan golongan wanita dan belia menceburi bidang perniagaan oleh pelbagai kementerian dan agensi,” katanya.

Beliau berkata, KUSKOP akan terus komited dan responsif dalam usaha membantu golongan belia meningkatkan prestasi dan skala perniagaan ke peringkat yang lebih tinggi.

RELATED ARTICLES
Utama

Sistem air minuman secara mudah alih, berkuasa solar berjaya dibangunkan

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular