KOTA KINABALU: Semua pemimpin Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) diseru supaya memberikan khidmat kepada seluruh rakyat di negeri ini tanpa mengira latar belakang ideologi politiknya, kata Timbalan Presiden Gagasan Rakyat Datuk Seri Masidi Manjun.
Katanya, bukan hanya berkhidmat kepada ahli parti tetapi juga memberikan perkhidmatan kepada seluruh masyarakat.
“Anggaplah perjuangan anda sebagai satu National Service untuk Sabah. Berjuang dengan ikhlas demi kebaikan masyarakat, bukan untuk kepentingan peribadi semata-mata.
“Perjuangan ini bukan sahaja sebagai pemimpin atau ahli Gagasan Rakyat, tetapi perjuangan sebagai “Anak Sabah” yang mencintai negeri ini!,” katanya semasa menyampaikan ucapan Perasmian Serentak Pemuda, Wanita dan Beliawanis Gagasan Rakyat sempena Persidangan Agung Tahunan Gagasan Rakyat di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) di sini hari ini.
Masidi berkata, walaupun parti Gagasan Rakyat adalah parti baharu, beliau yakin pada penghujung tahun ini akan mencapai seramai 300 ribu ahli yang menyertai parti ini.
“Ini adalah kerana hasil keras dari semua pihak pemuda, wanita, beliawanis dari induk dan semua bahagian.
“Kita mahukan parti kita sebagai yang ‘fresh‘ (segar) dan melambangkan sebuah parti Sabahan itu sendiri sekali gus menjadikan parti yang terbaik dikalangan rakyat Sabah,” tegasnya.
Dalam pada itu, semua pemimpin Gagasan Rakyat diminta untuk menerapkan ‘mindset‘ dengan lebih progresif dan inklusif dalam melaksanakan tanggungjawab.
“Masa kini memerlukan kita untuk berfikir dan bertindak dengan cara yang berbeza. Politik era kontemporari bukan semata-mata perjuangan kuasa, tetapi juga perjuangan ideologi, prinsip dan
integriti.
“Cabaran politik, terutamanya di Sabah, memerlukan kita untuk berada beberapa langkah ke depan. Oleh itu, pemimpin dan ahli PGRS mesti menerapkan mindset yang lebih progresif dan inklusif,” katanya.
Beliau turut menggesa setiap ahli PGRS menjadi contoh dalam berpolitik dengan integriti, mempromosikan dialog yang konstruktif dan menjauhi budaya politik yang tidak beretika.
“Kita harus melepaskan diri dari politik lama yang penuh dengan intrik dan konflik, dan bergerak menuju politik yang lebih matang, beretika dan berteraskan kerakyatan,” tambahnya.
Justeru itu, Masidi berkata, sebagai sebuah parti lokal, Gagasan Rakyat mempunyai tanggungjawab
khusus untuk mewakili suara dan aspirasi rakyat Sabah.
“Kita tidak hanya memperjuangkan hak Sabah di peringkat nasional, tetapi juga memastikan bahawa setiap keputusan dan inisiatif yang diambil oleh Kerajaan Negeri yang diterajui oleh YAB Presiden kita, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor, merangkap Ketua Menteri Sabah, memenuhi keperluan dan harapan rakyat Sabah.
“Konsep ‘Sabah First’ bukan sekadar slogan, tetapi manifestasi dari komitmen kita untuk memastikan kepentingan Sabah sentiasa diutamakan.
“Sebagai parti lokal, PGRS harus berada di barisan hadapan dalam memperjuangkan hak dan kepentingan rakyat Sabah, memastikan bahawa suara mereka didengar dan aspirasi mereka direalisasikan,” ujarnya.